SYAIR PILU TUN KUDU
Oleh Dang Anum
Pernah disiarkan di laman web Ilham Karangkraf
‘Ayuhai betapa malangnya kita,
Seorang perempuan di negeri Melaka,
Jadi jambatan muafakat yang tiada,
Bergalang ganti kerana nusa.’
Pendengaranku masih jelas mendengar syair Tun Kudu Tun Perpatih Sedang yang resah gelisah. Meskipun malam telah pun didakap sepi, baginda yang ketika itu masih permaisuri masih berkeluh kesah di peraduan beralas sutera. Kelambu nipis yang terikat pada empat tiang katil bertiang tinggi itu masih terikat cantik. Bermakna baginda masih belum mahu beradu.
“Aduhai Tun Saja, betapa malang nasib kita.”
Baginda mengalas wajahnya yang putih kekuningan dengan bantal golek. Keningnya yang tebal berlengkok bak bulan sabit itu bagaikan bertemu. Alis matanya yang lentik itu tidak pernah kering semenjak dua tiga hari ini. Kami, para dayang tidak akan berganjak selagi baginda belum bertitah untuk ditinggalkan sendirian. Ataupun, Sultan Muzaffar Shah tiba-tiba memunculkan diri, barulah kami akan memohon sembah meninggalkan baginda.
Puteri kesayangan Bendahara Seri Wak Raja itu diambil Sultan Muzaffar menjadi permaisurinya setelah peristiwa ayahanda kesayangannya itu meminum racun akibat salah sangka. Itu yang kudengari daripada soksek-soksek kalangan biduanda dan menurun kepada hamba sahaya termasuklah kami para dayang. Jika selain daripada itu, tidaklah kuketahui kerana Tun Kudu semenjak menjadi permaisuri, tiadalah ria bermukim di hatinya. Melainkan bermuram durja sepanjang waktu.
Keikhlasan melemparkan senyuman terpancar jelas di wajahnya kala kekandanya Bendahara Paduka Raja, Tun Perak atau adindanya Tun Perpatih Putih bertandang. Selain itu, meskipun di depan Sultan Muzaffar Shah, baginda menyembunyikan rawan di dalam senyum yang dibuat-buat. Duka disimpul kemas dalam kemanjaan palsu demi taat setia kepada sultan kesayangan juga lelaki bertaraf suami.
Selain itu, Tun Kudu adalah perempuan yang lebih malang nasibnya berbanding diriku. Seorang perempuan darat yang menjadi dayang istana setelah diselamatkan oleh seorang pengawal istana. Aku sendiri tidak tahu namanya kerana segala-galanya berlaku begitu pantas. Aku ke mari mencari seorang lelaki yang sangat kukasihi. Malangnya, dia yang kucari sudah kembali mencari dirinya sendiri. Aku tidak ingin mengenanginya lagi.
Namun, syair gurindam Tun Kudu akhir-akhir ini begitu memilukan. Entah kenapa. Ingin aku tanyakan terus kepadanya tetapi dia menjawabnya dengan air mata. Malahan, ayapan dihidang orang langsung tidak disentuhnya. Santapan enak rahmat pemberian Allah Taala menandakan Melaka negara berdaulat ditolaknya begitu sahaja.
“Adakah kita ini anak-anakan? Tempat melepas rindu dendam. Dicampak ke tepi atau diletakkan di dalam peti bersalut emas. Bila perlu baru diguna?” Kemit tubuh bersalut emas bersinar-sinar mengelilingi lengan mulusnya. Selendang nipisnya yang bertenggek di atas cucuk sanggul luruh menyingkir ke bahu.
“Hamba yang hina ini kurang mengerti, tuanku.” Aku akhirnya mengakui.
Apatah lagi Tun Kudu berbahasa berbunga indah. Mana dapat difaham oleh si darat yang biasa berbahasa kasar terpekik-pekik seperti aku.
“Tun Saja, kita ini hendak ditalak baginda. Dijadi peneman tidur Seri Nara di Raja. Buat penyelesai berbalah antara kedua Seri Nara di Raja dengan Paduka Raja, kekanda kita. Adapun Seri Nara di Raja Tun Ali itu tersinggung hati dengan Paduka Sultan kerana melantik kekanda kita menjadi bendahara. Walang di hati tidak terkira. Sudahlah kita kehilangan ayahanda, terasa diri tiada berguna,” Tun Kudu berladung air mata melepaskan perasaannya. Belas hatiku mendengarnya.
Betapa mahal harga kehidupan yang harus dibayar oleh perempuan bernama Tun Kudu ini. Apalah dayaku untuk sekadar menumpahkan rasa simpati dengan menghambur sedikit kesedihan. Bagi dayang–dayang lain yang ingin membubarkan empang air mata, berkongsi sedih kononnya, terpulanglah kepada mereka. Aku tidak dapat membodohkan diri sebegitu. Aku tidak dilahirkan sebagai pelakon yang boleh menukar watak dalam sekelip mata. Aku hanya perempuan darat yang naif dan dungu.
Air mataku sudah kering, sudah lama kering. Semenjak dia pergi meninggalkan pergunungan tempat bergurunya. Meninggalkan aku dengan janji ingin kembali. Membawa aku keluar dari belantara dan menjadi suri hatinya di tanah Melaka.
Namun dari daksina ke paksina, dari masyrik lalu ke maghrib, penantianku akhirnya sia-sia. Dalam tilikan sang guru, cintanya sudah terkalih pada yang lain. Kasihnya sudah berlabuh di labuhan lain. Apatah lagi, tiba-tiba dia menjadi orang besar istana. Maka banyaklah kelopak mewangi menawar diri. Maka, sengsaralah aku sendirian dalam dendam sahaya berdapat-dapat.
“Bukankah Tun Bulan anak Orang Kaya Hitam masih dara meranum? Begitu juga Tun Rakna Sandari saudara Paduka Raja. Ataupun menakan tuanku permaisuri sendiri Tun Kanaka ibarat kembang memekar di dalam jambangan? Kenapa bunga di jambangan dalam taman larangan istana yang menjadi intaian. Tidakkah tuanku terfikir akan niat Seri Nara Diraja?”
“Kita pun berfikir demikian. Namun titah sultan, titah suruhan. Berpaling kita, derhaka rakyat, derhaka isteri, derhaka pada Allah Taala. Tidak tertanggung kita azab di sana nanti.”
“Sudahlah Tuanku Permaisuri. Jangan difikirkan lagi. Kelak merosak diri,” pujuk Dang Mandu.
Aku terdiam juga. Tiada tercapai akalku untuk membuka jalan buat Tun Kudu meloloskan diri daripada masalah ini. Wajarkah kalau aku usulkan pembuka simpulan buat wanita cantik yang lemah lembut itu dengan membisikkan satu perancangan meninggalkan istana pada malam hari? Mahukah perempuan bermata juling air yang berbibir tipis itu bersusah-payah terhendap-hendap melepasi pengawal istana semata-mata untuk sebuah kebebasan?
“Kita kesal. Kita kesal. Pertikaian Paduka Raja dengan Seri Nara di Raja boleh diselesaikan dengan cara yang lebih bijaksana. Kenapa kita menjadi mangsanya? Tiadakah kasih sultan terhadap kita?” Tun Kudu bersuara mendayu-dayu.
Terhinggut-hinggut bahunya tersedu-sedan di pembaringan sehinggalah baginda lelap sendiri. Kelambu nipis kami leraikan dan kami tinggalkan baginda di peraduan. Melayan mimpi ngeri menjadi wanita cantik yang bernasib malang.
“Apalah halnya kita sebagai dayang. Tiada upaya kita dapat membantu.” Dang Mandu bersuara sebaik sahaja bilik kami gelap gelita. Aku berbaring di atas mengkuang dan sebiji bantal lembik mengalas kepala.
“Nampaknya Seri Nara di Raja sengaja mengonjokkan Sultan Melaka. Sekiranya Paduka Tuanku menuruti serakah si tua bangka itu, alangkah malangnya nasib Tun Kudu.” Aku bersuara di dalam kekalutan kantuk yang semakin mencengkam.
“Aku tidak melihat Paduka Sultan mempunyai pilihan. Daripada melihat orang-orang besarnya terbahagi dan berpecah, biarlah baginda yang beralah. Haruskah Paduka Sultan kita salahkan?” tanya Dang Mandu pula.
“Tidakkah tuan hamba mendengar yang Tun Ali itu berkisar duduk ke tengah apabila Paduka Sultan menggelar Tun Perak itu Paduka Raja. Bermakna dalam manis, Sultan Muzaffar Shah mahu Seri Nara di Raja itu meminggir diri. Jika hamba pun, hamba tersinggung. Diberi malu di balai paseban.”
Aku membenarkan kata-kata Dang Mandu. Mungkin Paduka Sultan Muzaffar Syah sudah menimbangkan semasak-masaknya untung rugi percaturan baginda.
"Tiadalah Raja Kasim itu bergelar sultan kalau tidak bijak laksana.” Dang Mandu terus berbicara panjang lebar. Sedang aku tidak dapat membuka lagi mata waima untuk menjeling belalang besagi di atas kepala.
“Seri Wak Raja ayahanda hamba,
Aib dirasa menanggung murka,
Tiadalah ia ketahuan punca,
Racun diminum penghapus lara.
“Kenapa adinda masih bersenandung, lagu duka berkenaan paduka ayahanda. Hiba hati kekanda mendengarkannya.” Titah tuanku sultan yang tiba-tiba masuk ke dalam bilik peraduan mengejutkan Tun Kudu. Pantas dia mengemaskan diri lalu berdatang sembah melutut di kaki paduka sultan. Begitu juga kami para dayang, menjunjung duli meninggalkan mereka berdua-duaan laki isteri.
“Tiadalah dinda berniat merungsingkan hati paduka kekanda. Adapun syair adinda sekadar melepaskan rindu pada almarhum ayahanda. Serta kenang-kenangan semasa kecil.”
“Syair adinda membuatkan hati kekanda remuk redam. Kekanda mengerti apa yang bermain di fikiran kekasih kekanda yang kanda rindui siang dan malam.”
Aku memejamkan mata. Wahai wanita yang bernama Tun Kudu. Janganlah mudah terleka dengan pujuk rayu. Lelaki memang begitu. Saat menuturkan kata, langit dan bumi mahu dijadikan satu tidak terpisah waima dek lorongan nafas. Apabila berjauhan, tiada sepicing ingatan. Aku ingin meniupkan ingatan itu ke telinga Tun Kudu. Malangnya, jasadku dengan jasad Tun Kudu terpisah dek dinding istana yang kuat dan utuh ini.
Kali ini aku dapat merasakan betapa rengsanya perasaan Tun Kudu menghadapi detik ini. Hari ini lelaki bernama Muzaffar Shah itu masih disembah sebagai sultan merangkap suami. Esok, dia hanyalah Tun Kudu hamba rakyat Sultan Muzaffar Shah, raja besar tanah Melaka yang tersohor. Lebih memilukan, akan dikahwinkan pula dengan lelaki tua yang tidak sedarkan nyawa. Melebihkan pangkat dan kebesaran daripada sillaturrahmi apatah lagi menghargai perasaan seorang wanita. Dapatkah Tun Kudu berbahagia dengan manusia seperti itu?
“Kita ini mangsa. Jangan tuan hamba yang menurutnya. Carilah kebebasan walau dalam paksa. Kita ini jangan dibuat contoh. Beritahulah anak cucu nanti. jangan ditiru resam Tun Kudu. Hanya menurut bagaikan lembu. Hati terbakar tak siapa tahu. Hidup bagai binatang pacu.”
“Janganlah tuanku berkata begitu,” pujukku. Ternyata Tun Kudu benar-benar kecewa kali ini. Mungkin kedatangan Sultan tadi sudah menitahkan akan untung nasibnya.
“Apa lagi daya kita. Talak sudah diberinya. Beserta belanja serta pesannya. Habis edah berhadirlah mengadap Seri Nara diRaja.” Ucap Tun Kudu terus berlagu sendu.
“Mungkin ini balasan kepada kita kerana mungkir janji kepada dia.” Akhirnya, aku mendengar pengakuan itu. Aku menganggap Tun Kudu reda kerana dugaan ini sekadar memulangkan dirinya kepada masa silam. Janji setia dengan seorang lelaki yang terpaksa dilerai demi menurut titah perintah Sultan.
Terasa dadaku juga dihempap seketul batu gunung yang maha berat. Kalaulah aku ini mahir berlawan keris atau bersilat setidak-tidaknya, mahu aku amukkan si tua bangka itu. Atau setidak-tidaknya aku silatkan agar patah riuk dan tidak mampu lagi untuk mengangkat walau seulas jari.
Bukanlah Melayu namanya kalau membiarkan sahaja maruah diinjak-injak. Diperolok seperti bola sepak raga. Dari satu kaki ke satu kaki yang lain. Biarpun lelaki Melayu itu tidak dinafikan handal menimbang bola sehingga boleh berlama di kaki.
Keesokannya, pecahlah berita akan keberangkatan pulang Tun Kudu ke rumah ayahandanya. Tersenyumlah permaisuri-permaisuri baginda yang lainnya. Bersorak keriangan para gundik sultan. Seorang pesaing ampuh berundur keluar dari gelanggang tanpa banyak bunyi. Kami, para dayang turut mengiringi. Meninggalkan istana Melaka yang terdiri megah tetapi memijak maruah seorang gadis bernama Tun Kudu yang tidak mampu berbuat apa-apa. Apalah dayaku pula. Seorang perempuan darat yang diangkat menjadi dayang setelah cinta yang dicarinya hilang.
“Berbaik sangkalah dengan Allah Taala, Tun Kudu,” pujuk kekanda baginda, Tun Perak.
Tun Perak itu mendapat gelar Bendahara Paduka Raja orang bijaksana. Setara kedudukannya dengan Patih Aria Gajah Mada di Majapahit. Juga setaraf bahu dengan Orang Kaya Kanayan, bijak pandai di Pasai. Tiga buah negeri yang besar dan masyhur pada masa itu. Bertangisanlah Tun Kudu di bahu kekandanya. Sesungguhnya dadalah pejuang tiada tara kerana mengorbankan diri untuk menyatukan bangsa. Bangsa yang terpecah hanya kerana hasad dengki dan ketaksuban mengejar keuntungan duniawi.
Laman web penulisan : Ilham Karangkraf
Sejarah Melayu, diusahakan oleh W.G. Shellabear, Selangor, Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd, 1991
Friday, October 27, 2017
Thursday, October 26, 2017
HIPERBOLA

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Carian Google
Hiperbola
Gaya bahasa perbandingan yang menggambarkan sesuatu secara berlebihan-lebihan atau melampau-lampau hingga ada ketikanya di luar kemunasabahan. Namun begitu ia relevan digunakan untuk gambaran adjektif sesuatu keadaan itu.
jika luas - digambarkan terlalu luas contoh :
dari maghrib ke masyrik, dari daksina ke paksina, berjalan tujuh hari tujuh malam, barulah sampai ke hujung negeri.
jika terlalu sedih, air mata terjun menuruni pipi, basah sehelai sapu tangan lagi diperah, duduk berendam si air mata.
kata kuncinya ialah : hyper (berlebih-lebihan. Bola tu abaikan!)
Friday, October 20, 2017
Rumah Untuk Disewa : Nazrie Haslieanie

Nazrie Haslieanie merupakan
nama sebenar editor, penulis dan penyelenggara berasal dari Besut ini.
Mempunyai pengalaman 10 tahun di dalam bidang penulisan seiring dengan
tugasannya sebagai editor buku-buku pendidikan di sebuah syarikat penerbitan
tersohor di Malaysia.
Penglibatannya di dalam bidang penulisan bermula ketika masih bergelar pelajar
universiti dengan tersiarnya cerpen berjudul “Alahai Ayah” di majalah Mingguan
Wanita. Tanpa menoleh, langkahnya dihayun laju dengan penghasilan cerpen demi
cerpen dan disambung pula dengan kerjaya di dalam bidang yang sama. Seterusnya,
langkahnya terus gemilang dengan terbitnya dua buah novel awal remaja berjudul
“Si Belang” dan “Ku Juga Punya Hati.”
Sebagai penulis, keunikan dalam setiap karya adalah buruan yang tidak
berpenghujung dan itu jugalah hasrat penulis yang sudah menghasilkan lebih 30
buah karya termasuk novel remaja, antologi cerpen, puisi dan cerita kanak-kanak.
Beliau yang pernah
terlibat dengan antologi “Sedegup Cinta” meletakkan Roald Dahl sebagai idola
atas kriteria kisah-kisah yang digarap oleh penulis tersebut memberi beliau
inspirasi supaya berfikir di luar kotak. Selain itu, penulis berkaca mata ini
tidak spesifik dengan seseorang penulis sebagai idola berdasarkan kisah yang
ditulisnya.

Penulis buku “Budak Tin” terbitan ITBM ini juga merasakan penulisan cerpen adalah wahana terbaik untuk penulis baharu yang mencari tapak di dalam bidang ini. Pada masa yang sama, mereka dapat menghasilkan karya dengan lebih cepat dan sudah tentu lebih baik pada masa mendatang. Bagaimanapun, beliau mengingatkan, adalah penting untuk seseorang penulis itu memastikan maklumat yang ditulis adalah fakta yang tepat agar tidak dipertikaikan oleh pembaca. Pembaca pada hari ini semakin pintar kerana mereka sendiri banyak membaca dan menelaah. Penyampaian yang kreatif juga merupakan peluru yang boleh menarik minat pembaca.
Selain daripada menulis, Nazrie Haslieanie juga sering diundang oleh pihak
universiti dan sekolah untuk memberikan ceramah tentang penulisan. Selain itu,
pengalaman ditemuramah oleh pelajar universiti untuk tugasan, juga turun
mempromosi karya sendiri di pesta buku merupakan pengalaman berkarya yang indah
bagi beliau.
Sehingga ke tahap ini,
Nazrie Haslieanie, editor muda yang berkaliber ini merasakan perjalanannya di
dalam bidang penulisan masih panjang. Dia ingin sekali menghasilkan karya di
dalam genre yang berbeza sebagai memenuhi tuntutan sasarannya sebagai penulis
serba boleh.
Pada tahun 2016 sahaja, sebanyak 7 buah karyanya telah diterbitkan dan
kesempatan menimba pengalaman yang pelbagai ketika menulis, dimanfaatkan
sepenuhnya. Nazrie Haslieanie sebelum menoktahkan temubual mengharapkan rakan
penulis yang berkeinginan untuk menjadi penulis berjaya agar jangan mudah
berasa puas dan mendabik dada jika karya diterbitkan kerana proses pembelajaran
ini tentunya tidak pernah bernoktah.

Monday, September 4, 2017
Monolog Luaran dan Sudut Pandangan Orang Pertama

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Carian Google
Monolog luaran pula ialah perbuatan watak BERCAKAP SEORANG DIRI/BERSUARA tetapi tanpa direspon oleh watak lain. Meskipun penulis mewujudkan ada watak lain ketika itu, percakapan itu dianggap tidak didengar oleh sesiapa.
Penerang dialog ialah ; desis, gumam, bisik, getus, desah – atau apa sahaja perkataan yang menggambarkan perbuatan berkata-kata dengan perlahan.
Jadi apa perlu kita tulis perkataan ‘monolog’ kalau kita ada kosa kata yang menggambarkan watak bercakap sendiri?
Contoh :
Eh! Biar benar,’ getusnya. Dia memandang sekeliling. Tiada sesiapa di situ.
Penerang dialognya ialah : getus
Kurungan dialognya ialah : Dia memandang sekeliling. Tiada sesiapa di situ.
(penerang dialog dan kurungan dialog menguatkan ayat tersebut BAHAWA perbuatan itu adalah monolog berdasarkan perkataan ‘getus’(PD) dan ‘tiada sesiapa di situ’ (KD))
…maafkan aku sayang,’ bisiknya sebelum meletakkan surat itu dan berlalu pergi
Penerang dialog : bisik
Jadi sekali lagi saya tegaskan, kenapa nak guna perkataan monolog sedangkan kita boleh menggantikannya dengan perkataan lain. Cuba baca ayat ni,
….maafkan aku sayang,’ monolognya sebelum meletakkan surat itu dan berlalu pergi
Yang bermaksud
….maafkan aku sayang,’ dia bercakap sendiri sebelum meletakkan surat itu dan berlalu pergi.
Atau
……..aku akan dapatkan juga!’ dia bermonolog di dalam hati.
Yang bermaksud
……………aku akan dapatkan juga!’ dia bercakap sendiri di dalam hati.
Bagaimanapun, berhati-hati sekiranya anda menggunakan sudut pandangan orang pertama atau POV1. Untuk mengenalpasti POV1 ialah apabila kita menggunakan ganti nama ‘aku’ atau ‘saya’ untuk mewakili watak.
Sekiranya anda menggunakan POV1, monolog yang boleh dipakai ialah monolog luaran. Monolog dalaman tidak boleh digunakan kerana POV1 dianggap adalah cerita watak tersebut sendiri atau dalam bahasa mudahnya, watak sedang bercakap dengan dirinya sendiri dalam ruang lingkup yang lebih luas.
Contoh : POV1
Itulah sebabnya aku jadi orang pertama yang sampai di fakulti ni. Tak ada orang. Inilah masa yang paling sesuai untuk aku jayakan misi rahsia. Jeng! Jeng! Jeng.
Noraz Ikha, Nota Cinta Rahsia, Komplot Menulis 2015.
Tidak terdapat monolog di dalam ayat ini kerana ‘aku’ sendiri yang bercerita. Maka, dia boleh menceritakan perasaannya secara terus. Lihat pula kalau saya tukarkan POV1 ke POV3. POV3 ialah sudut pandangan orang ketiga. Untuk mengecamnya, penulis biasanya menggunakan ganti nama watak, atau ‘dia’ atau ‘mereka’.
Contoh : POV3 + monolog
Itulah sebabnya dia menjadi orang pertama yang sampai di fakulti ni. Tak ada orang. ‘Inilah masa yang paling sesuai untuk aku jayakan misi rahsia. Jeng! Jeng! Jeng.’ Rania menyengih, mengiyakan kata hatinya.
Di dalam petikan ini, saya telah menggantikan ‘aku’ dengan ‘dia’ dan sebelum perkataan ‘Inilah’ saya letak pengikat kata (‘) untuk memberitahu watak sedang berdialog. Juga saya tambah kurungan dialog ‘Rania menyengih, mengiyakan kata hatinya.’ Menunjukkan watak bernama Rania sedang bermonolog.
Maka, ingat! Jangan bermonolog dalaman kalau anda menggunakan sudut pandangan orang pertama. POV1
Sunday, August 13, 2017
Salam Takziah
Assalamualaikum dan Salam Kreatif.
Kami Geng TSJD ingin mengucapkan salam takziah pada rakan penulis kami iaitu Tunku Zarita (Bonda Tunza) atas pemergian suami beliau pada khamis lepas. Al-Fatihah buat arwah dan semoga rohnya dirahmati dan ditempatkan bersama golongan orang-orang beriman. Pada bonda Tunza, semoga diberi ketabahan dan kuat semangat.
Al-Fatihah.
Salam takziah,
Geng TSJD
Thursday, August 10, 2017
Cerpen Pilihan Bulanan : JANJI LEBARAN
Assalamualaikum. Salam Kreatif. Bismillah.
Cerpen yang terpilih utk bulan Julai ialah cerpen Padin Majid bertajuk Janji Lebaran. Cerpen yang terpilih menerima saguhati penghargaan daripada Admin TSJD yang telah dikreditkan ke dalam akaun penulis.
Tahniah!
Salam pena,
Admin TSJD
Friday, August 4, 2017
Cerpen Pilihan Mingguan : AKU TAK MENGERTI
AKU TAK MENGERTI
Oleh Farihah Rashidi
Oleh Farihah Rashidi

Sumber gambar : Google
Aku tidak mengerti mengapa mereka begitu membenciku; sedangkan aku mampu rawat luka cedera mereka. Aku seperti Sang Hina yang mahu mendekati mereka Yang Mulia, bagaikan pungguk rindukan bulan. Tiap kali aku cuba menghampiri mereka, aku seolah-lah dibakar rentung. Tapi, aku tidakkan menyerah kalah. Aku akan pastikan mereka menerimaku dan segala luka bisa sembuh.
//
Aku pernah cuba mendekati sebuah golongan penternak haiwan di sebuah negara maju. Hadirnya aku di sana bukan mahu mengganggu gugat aktiviti mereka malah aku cuba untuk membantu mereka untuk masa jangka yang panjang. Aku masih ingat, kemunculanku sewaktu ladang mereka dilanda masalah bekalan makanan (untuk ternakan). Dalam pada masa yang sama, permintaan terhadap hasil ternakan bertambah sehingga mereka tidak punya masa yang cukup untuk ternakan membesar.
Salah seorang daripada penternak mencadangankan untuk ambil permintaan yang mampu mereka sediakan. Namun, lagi dua orang penternak merasakan peluang keemasan itu cuma datang sekali seumur hidup. Justeru, mereka mahu menyuntik hormon pembiakan, percepatkan tumbesaran serta beri makanan dari sisa ladang khinzir. Keputusan yang mereka buat ini membakar aku dengan api tamak haloba.
Benar, berlipat kali ganda keuntungan dibuat tetapi dalam masa yang sama, mereka telah meletakkan para pengguna ke kancah kesihatan mundur. Suntikan yang dikenakan pada ternakan memberi kesan negeatif pada pengguna. Mungkin 20 tahun akan datang, jumlah manusia yang sihat di muka bumi sama dengan jumlah hutan yang sedang asyik digondol sekarang.
Tidak lama kemudian, aku mendengar tangisan ratapan sedih para penternak kerana anak-anak mereka meninggal dunia akibat sakit disebabkan suntikan racun itu. Hati bagaikan dihiris sembilu, siapakan sangka perbuatan terkena batang hidung sendiri. Pedihnya, sakitnya.
Aku sekali lagi cuba mendekati mereka agar mereka tidak lagi tersimpang jauh. Aku cuba meniup sebahagian daripadaku ke dalam sanubari mereka. Semoga mereka berjaya mengharungi dugaan hidup.
Seterusnya perjalanan aku berjumpa dengan dua orang ahli perniagaan yang cukup berjaya. Mereka berdua sahabat baik. Seorang bernama Ikram dan seorang lagi Faraz. Memandangkan masing-masing berjaya dalam perniagaan, pasti ada saja yang cemburu. Pada mulanya, aku cuma perhatikan mereka daripada jauh, namun saat mereka dilempar fitnah, aku mendekat.
Ikram dituduh terima rasuah manakala Faraz pula dituduh memberi rasuah. Mereka berdua tahu siapa dalang disebalik semua ini. Malah, orang yang menuduh itu sebenarnya yang merasuah dan dirasuah. Mereka kenal sangat dengannya. Sewaktu Ikram dan Faraz berbincang berkenaan cara berhadapan dengan masalah ini, aku turut hadir. Aku gembira kerana Ikram kelihatan senang dengan kehadiranku. Cuma Faraz menentang. Hasilnya, Ikram memilihku dan Faraz pergi tanpa mengendahkan aku.
Aku pesan pada Ikram untuk berdiam diri buat seketika dan terus fokus pada perniagaan. Kataku, diam juga satu bahasa paling baik saat badai melanda. Mohonlah pada Tuhan petunjuk agar sentiasa dalam penjagaanNya. Dia ikut satu per satu nasihatku. Namun, berlainan dengan Faraz, dia buka mulut dan terus bela diri.
Selang beberapa ketika, ombak fitnah kembali reda. Perniagaan Ikram terus maju dek kecerdikannya memilihku. Sebaliknya buat Faraz, dia terperangkap dengan mainan syaitan dan jatuh tersungkur. Dia sedar akan kesilapannya. Ada juga dia berkata pada Ikram, andai dia mendengar kataku, pasti tidak akan jadi begini. Namun, aku akan tetap bersama andai dia memilihku menemani kebangkitannya.
Sewaktu aku masih di episod Ikram dan Faraz, aku ternampak seorang gelandangan yang seringkali berkeliaran di perkarangan pejabat Ikram. Aku sebut dia seorang gelandangan kerana aku pernah lihat dia tidur di bawah jambatan sewaktu aku menemani Ikram balik ke rumah. Tapi, meskipun tidak punya kediaman, riak wajahnya cukup bersih.
Dia bernama Chul dengan ketinggian persis model, berkumis nipis, dan berpakaian yang agak kusam. Aku ikutinya untuk beberapa hari. Aku mahu tahu apakah dia boleh menerimaku. Dia berjalan di kotaraya mencari sesuap nasi dengan bermain gitar, ke jambatan untuk tidur, dimana saja dia pergi, aku ada. Sekalipun tidak pernah aku dengar dia menghinaku, sekalipun tidak pernah dia memanggilku kolot.
Sehinggalah suatu hari, Chul di persimpangan perasaan, samada meninggalkanku atau kami terus bersama. Rutin hariannya pada hari tersebut, diganggu dengan ejekan, kata nista orang awam. Mereka mencaci, menghinanya hanya kerana mereka punya rumah, punya pakaian cantik, punya wang makan sedangkan dia tidak punya apa-apa.
Dada Chul berombak-ombak. Saat dada berkembang, dia mahu meninggalkanku, bila kembali rata, dia masih mahukanku. Suara-suara luar mengacau mindanya namun hatinya juga masih mahu bersuara. Aku berpaut kuat di ranting hati Chul.
Akhirnya, suara hati Chul berkata;
“Meski aku tidak punya rumah, tapi aku masih boleh berteduh. Meski aku tidak punya wang, tapi aku masih dapat makan, meski pakaianku kusam, masih mampu menutup aibku. Tuhan begitu pemurah buat orang sehina aku”
Aku melompat gembira. Pedih luka nista Chul, aku rawat lembut sehingga tidak berparut. Begitulah ironinya dunia ini. Biarpun Chul dipandang hina, namun dia tetap punya hati yang mulia. Chul, aku tahu kau akan dapat tempat yang baik di sana kelak. Aku akan jadi saksimu nanti.
Dalam perjalanan aku di negara ‘dunia kelas pertama’, aku sempat melalui sebuah pusat internet, cyeber cafĂ©. Pusat tersebut dipenuhi dengan anak-anak muda juga tidak ketinggalan para pesara. Aku cuba imbas setiap manusia disitu. Semua asyik menatap skrin komputer seolah-oleh dipukau. Seorang remaja perempuan yang duduk ditengah remaja lelaki dan seorang pesara lelaki menarik perhatian aku.
Gadis itu sedang membelek laman sosialnya yang penuh dengan notification. Aku nampak dia klik pada satu laman sesawang yang bertajuk “Gosip Hari Ini”. Mungkin disebabkan berita itu berkenaan artis kesayangannya, itu sebabnya dia lawati laman web itu.
Berita yang dibaca itu agak mengaibkan. Aku turut lihat di ruang komen. Pelbagai komen negatif, buka aib, sangkaan buruk dan sebagainya memenuhi ruangan itu. Jari jemari gadis tadi mula menari di atas papan kekunci. Aku perhatikan saja apa yang mahu ditaipnya. Apa saja yang ditaipnya mempengaruhi kewujudan aku dalam dirinya.
Si gadis menaip dan padam, taip dan padam. Mungkin dia masih mahu berfikir apa yang mahu dikomennya meskipun komen itu bukan satu kewajipan dalam agama. Kelakuan gadis itu mengganggu lelaki pesara disebelah kirinya. Lelaki itu kemudian melihat skrin komputer gadis itu dan berkata;
“Komen je la. Dia ni memang nak kena ajar. Perangai macam tah apa-apa tapi boleh pula laku. Meluat aku tengok”
Gadis itu terdiam, terkesima dengan kata-kata lelaki yang boleh dianggap pakcik itu. Nampaknya, aku tidak diterima dalam hidup Si Lelaki Pesara ini. Namun, buat Si Gadis ini, aku rasa aku masih ada harapan untuk bersarang dalam hatinya. Si Gadis itu membatalkan niatnya untuk beri komen dan hanya senyum tawar kepada lelaki pesara. Aku dapat rasakan dia berfikir tentang kesan perbuatannya. Aku turut berbisik padanya, ‘baca, berhenti, fikir,bertindak’. Jika dia dapat tahan rasa untuk mengomentari orang, menjaga setiap tutur kata pasti dia akan dapat jadi seorang yang baik, pasti tiada hati yang dilukainya.
Aku setuju dengan buah fikirannya dan lega kerana meski Si Gadis asyik dengan media sosial, tetapi dia tidak sesuka hati membuat sebarang komen. Semoga aku dapat terus di dalam hati Si Gadis ini dan semoga dengan kematangannya, dapat beri pengajaran kepada Lelaki Pesara itu.
Daripada satu tempat ke satu tempat yang lain, satu masyarakat ke masyarakat yang lain, merentasi benua, merentasi zaman. Sampailah aku ke sebuah perkampungan kecil di negara yang dilabel dunia ketiga.
Terik panas mentari menggigit rakus masyarakat kampung. Aku rasa jika ada pelancong datang ke sini pasti bawa mudarat. Bahang yang membelit diri mengerah tenaga hingga lemah longlai. Bekalan air juga terhad. Bahkan punca air juga jauh. Perlu berjalan kaki ke mata air demi memastikan bekalan cukup untuk seiisi rumah.
Aku cuba perhatikan penerimaan aku disini. Apakah mereka sebulat suara menyukai aku atau sebaliknya? Aku mahu lihat apakah yang digembar-gemburkan media kelas pertama tentang mereka itu benar atau palsu. Menurut media mereka merupakan masyarakat yang mundur dalam aspek peradaban manusia. Maklumlah, di tempat mereka tiada pencakar langit, tiada sistem pengairan, pengaliran juga elektrik.
Seorang lelaki berbadan sasa, berkulit gelap, berdiri memberi sepatah dua kata. Lagaknya seperti ketua kampung. Satu per satu ucapannya aku dengar. Tiada keluhan, tiada putus asa. Hanya pujian kepada Tuhan, harapan dan doa agar terus dikurniakan rezeki. Kata-katanya ibarat awan yang memayungi pendengar (penduduk) dari terik mentari, bagaikan gerimis yang menyejukkan diri.
Sedang asyik penduduk kampung berkumpul, tiba-tiba kedengaran jeritan orang bergaduh. Mereka semua berlari ke arah jeritan dan menjumpai dua orang lelaki sedang bertumbuk. Diantara para lelaki yang bergaduh ada dua ekor lembu termanggu-manggu seperti tidak faham dengan apa yang berlaku.
Pak Ketua Kampung meleraikan pergaduhan yang hampir saja menumpahkan darah. Beliau kemudian menyoal selidik puncanya. Ada orang kampung yang turut terbawa dengan kehangatan cuaca serta pergaduhan untuk turut bergocoh. Namun, Pak Ketua menyuruh mereka untuk kekal tenang. Aku cukup suka dengan Pak Ketua ini. Nampaknya beliau juga menyukai aku.
Rupanya pergaduhan itu disebabkan salah seorang lelaki mahu menjual lembu kepunyaan rakannya dengan alasan mahu merantau ke Bandar demi mencari kehidupan yang maju jaya. Pak Ketua ambil sejenak saat untuk berfikir. Lalu beliau berkata;
“Hidup kita disini bukan satu malapetaka malah satu anugerah daripada Tuhan. Kehidupan kita meskipun tidak ‘maju’ seperti orang lain, namun kita masih bersaudara, masih ada berkasih sayang. Ini adalah cara hidup kita. Tidak semestinya kehidupan di Bandar sana, adalah kehidupan yang ideal buat kita semua. Percayalah, kita adalah yang teristimewa dipilih Tuhan untuk berada disini. Belum tentu orang lain mampu menjalani kehidupan kita. Dan yakinlah, selagi kepercayaan pada Tuhan kukuh di hati, kita disini dapat mengharungi ujian hidup meski apa badai sekalipun yang mendatang. Bersyukurlah kita,”
Bukan hanya lelaki yang bergaduh tadi angguk setuju, malah sekalian orang kampung turut bersetuju dengan ucapan Pak Ketua. Saat itu, aku merasakan seluruh kampung menerima dengan hati terbuka kehadiran aku. Mereka saling bersalaman, berpelukan dalam dakapan kasih sayang.
Kewujudan aku yang bertunas kini sudah menjadi pohon rending dalam sanubari mereka juga anak cucu. Aku cukup seronok melihat keadaan ini. Walaupun berada dalam keadaan yang tidak selesa, tidak senyaman masyarakat lain, tapi mereka tetap meemilihku. Mereka percaya akan rahmat dan kasih sayang Tuhan.
Begitulah antara kisah perjalananku. Tidakkah kamu tertanya-tanya, siapakah aku?
//
Akulah SABAR. Sebuah sikap yang kian lama ditelan zaman. Aku masih mencari puncanya. Adakah kerana dunia ini bergerak makin pantas? Ataupun kerana perkembangan teknologi yang begitu pesat? Sehinggakan aku yang bernaunsa perlahan ini dimomokkan sebagai ketinggalan zaman? Menjadikan semua pecintaku dianggap kolot dan tidak boleh hidup selangit, mati setanah dengan dunia moden?
Mungkinkah kewujudan aku dalam setiap sanubari insan bakal diancam kepupusan seperti Harimau Malaya, bunga Rafflesia?
Aku berharap sekalian insan dapat memberi ruang pada diri sendiri untuk menerimaku. Agar kejadian Hiroshima, genosid rakyat Rohingya, dan sebagainya tidak berulang kembali. Begitu besarnya harapanku.
Sabarlah, kerana sabar itu sebahagian daripada iman.
Tamat.
Subscribe to:
Comments (Atom)