Oleh: Pasidah Rahmat
![]() |
Sumber: Tuan Zamri Hassan & Page Nostalgia Kedah Zaman Dulu |
Perut Karim berkeroncong lagi. Padahal baru tadi dia makan dua ketul paha
ayam goreng. Hidungnya terbau aroma lauk
asam pedas. Dibuka tudung saji. Kedua-dua matanya terbuka besar melihat
telur-telur ikan yang tenggelam timbul.
Tanpa disuruh, Karim terus mengambil sepinggan nasi dan disenduk
beberapa keping telur ikan kurau.
Sungguh berselera dia makan.
“Karim! Kalau makan jangan lupa
orang belakang!" Mak Midah berpesan.
"Karim, jangan habiskan lauk itu! Mak hendak ambil
kakak daripada kelas tuisyen. Ingat
pesanan mak.” Karim hanya mengangguk-angguk.
Mulutnya penuh dengan nasi dan telur ikan. Ayam goreng pun dia tidak pandang.
Karim
bersandar kekenyangan dan bersendawa besar.
Baru dia perasan lauk asam pedas hanya tinggal kuah saja. Karim mula panik. Mak Midah memberi salam. Karim bertambah panik. Dengan segera ditutup
lauk itu dengan tudung saji dan cepat-cepat duduk di hadapan televisyen.
“Karim!
Habis telur ikan ni! Bukankah mak dah pesan tinggalkan sedikit untuk mak dan
Kakak. Kempunan mak...”
Air
muka Karim selamba. Mak Midah mencapai beg, terus keluar tanpa bicara. Kamariah, kakak Karim terpinga-pinga. Kamariah memanggil-manggil dan mengejar Mak
Midah tapi Mak Midah terus berlalu.
“Adik!
Kenapa adik habiskan telur ikan tu? Bukankah adik tahu telur ikan kegemaran
mak. Sekarang mak dah merajuk!!”
Karim
tunduk. Titisan air mata jatuh berderai.
“Ki.ta.. te..te..lefon mak!”
Suara Karim tergetar-getar dan menangis tersedu-sedu.
Kamariah
cuba menghubungi Mak Midah melalui telefon rumah. Di satu sudut, kedengaran nada dering
telefon. Karim berlari ke arah almari
kasut. Telefon bimbit Mak Midah ada di
atasnya, sedang berdering. Sewaktu Karim mencapai telefon bimbit itu, dia ternampak
sebuah buku cerita kecil. Walaupun sudah berusia lapan tahun, Karim masih
merangkak-rangkak membaca tulisan Jawi. Kamariah merampas buku tersebut
daripada tangan adiknya.
“Batu Belah Batu Bertangkup. Mana
adik jumpa buku ini?”
Karim
menunjuk ke arah almari kasut. “Cerita apa tu kak?” tanyanya.
Kamariah
mengajak adiknya duduk di sofa. Dia mula
bercerita akan kisah telur ikan Tembakul, Melur dan Pekan dan ibu mereka. Diceritakan bagaimana ibu kedua-dua beradik
itu merajuk dan ditelan Batu Belah Batu Bertangkup. Semuanya gara-gara Pekan
yang menghabiskan telur ikan Tembakul.
Mendengar
cerita ini, Karim menangis lagi, “Kak...
Batu Belah Batu Bertangkup ada dekat mana?”
“Kak
pun tidak tahu! Kenapa?”
“Jangan-jangan
mak pergi ke sana. Karim dah habiskan
telur ikan. mak merajuk! Mak mesti pergi
ke sana!”
“Ini
cerita dongeng saja. Mak pergi kerja.
Kejap lagi mak mesti balik. Mari masuk tidur.”
Kamariah,
walaupun baru berusia sebelas tahun, semenjak kematian bapanya dua tahun yang
lalu, sudah tahu tanggungjawabnya. Dia perlu menjaga Karim apabila Mak Midah
mula bekerja sebelah malam sebagai seorang pengawal keselamatan. Kamariah pasti
Mak Midah sudah pergi bekerja dan akan pulang selepas waktu Subuh.
**********
“Mak jangan pergi!
Batu Belah Batu Bertangkup jangan telan mak aku! Karim minta maaf! mak!”
Kamariah
menggoyang-goyangkan badan Karim agar adiknya itu bangun. Karim tersedar lalu memeluk kakaknya
erat-erat sambil menangis teresak-esak.
“Kak mari kita cari mak. Karim
hendak minta maaf!!”
Kamariah
bingung. Dia tidak tahu apa yang harus dia lakukan. Mak Midah belum pulang walaupun sudah jam 6
pagi. Biasanya waktu Subuh, Mak Midah
sudah sampai ke rumah. Selepas mandi dan solat Subuh, Mak Midah akan menyiapkan
sarapan pagi sebelum mereka berdua ke sekolah.
Kamariah
menelefon ke tempat kerja Mak Midah bertanyakan sekira ada di sana. Seorang
pegawainya memberitahu Mak Midah tidak
datang kerja. Dia menjadi risau. Ke mana
mak pergi?
“Adik dah cakap, Batu Belah Batu Bertangkup
dah telan mak!!
“Merepek saja adik ini. Sudah, Bangun!... Kita siap untuk ke sekolah!
“Adik
tidak mahu pergi sekolah! Adik hendak cari mak! Kak, mari cari mak!”
“Nak
cari di mana?”
Kamariah
dan Karim berjalan menyusur pasar pagi. Perut mereka berkeroncong. Di dalam dompet Kamariah ada 5 ringgit. Kira cukup-cukup untuk membeli sepinggan nasi
lemak dan segelas air kopi dan dikongsi dengan Karim. Diajak adiknya duduk di
warung nasi lemak.
Seorang
lelaki tua duduk di sebelah Karim dan memesan secawan kopi. Dia memerhatikan Kamariah dan Karim. “Anak berdua tidak pergi sekolah?”
Kamariah
dan Karim menggeleng-geleng. “Kami hendak cari mak kami. Mak kami kena telan
dengan Batu Belah Batu Bertangkup," jawab Karim, sedih. Kamariah
menyinggul adiknya. “Betul apa. Kalau tidak mak kita pergi mana?” Karim
berhenti makan dan memeluk tubuh, bermasam muka.
“Batu Belah Batu Bertangkup? Boleh
pak cik tahu kenapa?”
Kamariah menceritakan tentang telur
ikan Kurau yang habis dimakan oleh Karim sehingga mak mereka merajuk, tidak
balik-balik. Lelaki beruban itu mengangguk-angguk. Lama orang tua itu berdiam.
“Kalau anak-anak hendak mencari mak,
pak cik boleh tolong."
Kamariah dan Karim
berpandangan. Mereka berasa curiga dan
takut. Mak Midah berpesan jangan ikut
orang yang tidak dikenali. Bolehkah
mereka percaya di atas pertolongan lelaki tua ini?
Mereka
melihat raut wajahnya berseri-seri dan bersih. Sinaran matanya terpancar
kejujuran. Akhirnya mereka
bersetuju. Selepas lelaki tua itu
membayar harga makanan, mereka menaiki kereta Kancil berwarna putih.
“Pak cik tahu di mana Batu Belah
Batu Bertangkup?”
Lelaki
itu tersenyum mendengar pertanyaan Karim.
“Kamu berdua tidur dahulu. Kita
hendak berjalan jauh.” Entah mengapa kedua-dua mata Kamariah dan Karim berasa
berat sehingga tidur lenyak.
“Mak jangan pergi! Batu
Belah Batu Bertangkup jangan telan mak aku! Karim minta maaf! mak!”
“Karim
bangun, bangun!”
“Pak
cik... jauh lagi ke?” Karim bangun terpisat-pisat.
“Tidak
jauh.”
Lelaki
separuh abad itu memberhentikan kereta di tepi jalan yang agak lengang. “Karim, Kamariah, sebelum pak cik membawa
kamu berdua berjumpa mak kamu, ingat pesanan yang hendak pak cik sampaikan.
Satu, ingat pesanan orang tua. Dua, kalau makan jangan gelojoh sehingga terlalu
kenyang. Tiga, ingat orang belakang.
Empat, selalu berkongsi, tidak kira apa pun. Jangan suka pentingkan diri sendiri. Boleh?”
“Pak cik, gelojoh itu apa? pentingkan
diri sendiri apa?” Karim minta penjelasan.
“Gelojoh
itu makan banyak macam Karim, sampai habis semua lauk sampai mak merajuk!”
Kamariah bersuara lantang. Bibir Karim muncung memanjang.
“Pentingkan
diri sendiri itu bererti hanya fikirkan diri kita sahaja tidak fikirkan orang
lain. Faham?" Lelaki bermata sepet itu menerangkan. Karim mengangguk-angguk.
“Bila
dah jumpa Batu Belah Batu Bertangkup, Karim hendak ikut masuk. Karim hendak minta maaf. Cepatlah pak cik, kita pergi," desak
Karim.
Kereta buatan Malaysia yang dipandu
lelaki itu meluncur laju. Setibanya
mereka di hadapan Hospital Besar Bahagia,
dia memberhentikan kereta dan meminta dua beradik itu turun dan menunggu di hadapan pintu
besar.
“Pak
cik, kenapa bawa kami ke sini? Pak cik nak bawa kami ke Batu Belah Batu
Bertangkup.” Karim bertanya.
Lelaki
itu tersenyum dan berjalan terus melalui
lorong-lorong wad. Kamariah dan Karim terkejar-kejar mengikutinya. Lelaki
berbaju kemeja itu berjalan pantas. Sesampai di hadapan wad, dia berhenti.
“Mak
kamu ada di katil nombor 20. Pergilah jumpa dan minta maaf. Ingat pesanan pak cik tadi.”
“Terima
kasih pak cik. Boleh kami tahu nama pak cik?”
Lelaki
tua itu tersenyum, “Nama pak cik, Pekan."
Kamariah
dan Karim terkejut tapi membisu. Nama
itu pernah didengar mereka. Mereka berlari mendapatkan Mak Midah dan memeluk
dan mencium pipi Mak Midah sambil memohon maaf.
Al
kisah, malam itu Mak Midah terkilan hendak makan telur ikan Kurau. Melihat telur ikan tersebut habis, hatinya
sedih dan dia keluar untuk ke kedai makan untuk membeli lauk asam pedas telur
ikan. Sewaktu menyeberang jalan, dia
tidak menyedari sebuah kereta putih bergerak laju dan melanggarnya. Bagaimanapun, pemandu itu sungguh baik hati
dan terus menghantar ke rumah sakit.
Nama pemandu itu Pekan.
-TAMAT-
No comments:
Post a Comment