Friday, October 27, 2017

SYAIR PILU TUN KUDU

SYAIR PILU TUN KUDU
Oleh Dang Anum
Pernah disiarkan di laman web Ilham Karangkraf

‘Ayuhai betapa malangnya kita,
Seorang perempuan di negeri Melaka,
Jadi jambatan muafakat yang tiada,
Bergalang ganti kerana nusa.’

       Pendengaranku masih jelas mendengar syair Tun Kudu Tun Perpatih Sedang yang resah gelisah. Meskipun malam telah pun didakap sepi, baginda yang ketika itu masih permaisuri masih berkeluh kesah di peraduan beralas sutera. Kelambu nipis yang terikat pada empat tiang katil bertiang tinggi itu masih terikat cantik. Bermakna baginda masih belum mahu beradu.
     “Aduhai Tun Saja, betapa malang nasib kita.”
      Baginda mengalas wajahnya yang putih kekuningan dengan bantal golek. Keningnya yang tebal berlengkok bak bulan sabit itu bagaikan bertemu. Alis matanya yang lentik itu tidak pernah kering semenjak dua tiga hari ini. Kami, para dayang tidak akan berganjak selagi baginda belum bertitah untuk ditinggalkan sendirian. Ataupun, Sultan Muzaffar Shah tiba-tiba memunculkan diri, barulah kami akan memohon sembah meninggalkan baginda.
      Puteri kesayangan Bendahara Seri Wak Raja itu diambil Sultan Muzaffar menjadi permaisurinya setelah peristiwa ayahanda kesayangannya itu meminum racun akibat salah sangka. Itu yang kudengari daripada soksek-soksek kalangan biduanda dan menurun kepada hamba sahaya termasuklah kami para dayang. Jika selain daripada itu, tidaklah kuketahui kerana Tun Kudu semenjak menjadi permaisuri, tiadalah ria bermukim di hatinya. Melainkan bermuram durja sepanjang waktu.
      Keikhlasan melemparkan senyuman terpancar jelas di wajahnya kala kekandanya Bendahara Paduka Raja, Tun Perak atau adindanya Tun Perpatih Putih bertandang. Selain itu, meskipun di depan Sultan Muzaffar Shah, baginda menyembunyikan rawan di dalam senyum yang dibuat-buat. Duka disimpul kemas dalam kemanjaan palsu demi taat setia kepada sultan kesayangan juga lelaki bertaraf suami.
      Selain itu, Tun Kudu adalah perempuan yang lebih malang nasibnya berbanding diriku. Seorang perempuan darat yang menjadi dayang istana setelah diselamatkan oleh seorang pengawal istana. Aku sendiri tidak tahu namanya kerana segala-galanya berlaku begitu pantas. Aku ke mari mencari seorang lelaki yang sangat kukasihi. Malangnya, dia yang kucari sudah kembali mencari dirinya sendiri. Aku tidak ingin mengenanginya lagi.
       Namun, syair gurindam Tun Kudu akhir-akhir ini begitu memilukan. Entah kenapa. Ingin aku tanyakan terus kepadanya tetapi dia menjawabnya dengan air mata. Malahan, ayapan dihidang orang langsung tidak disentuhnya. Santapan enak rahmat pemberian Allah Taala menandakan Melaka negara berdaulat ditolaknya begitu sahaja.
       “Adakah kita ini anak-anakan? Tempat melepas rindu dendam. Dicampak ke tepi atau diletakkan di dalam peti bersalut emas. Bila perlu baru diguna?” Kemit tubuh bersalut emas bersinar-sinar mengelilingi lengan mulusnya. Selendang nipisnya yang bertenggek di atas cucuk sanggul luruh menyingkir ke bahu.
       “Hamba yang hina ini kurang mengerti, tuanku.” Aku akhirnya mengakui.
        Apatah lagi Tun Kudu berbahasa berbunga indah. Mana dapat difaham oleh si darat yang biasa berbahasa kasar terpekik-pekik seperti aku.
      “Tun Saja, kita ini hendak ditalak baginda. Dijadi peneman tidur Seri Nara di Raja. Buat penyelesai berbalah antara kedua Seri Nara di Raja dengan Paduka Raja, kekanda kita. Adapun Seri Nara di Raja Tun Ali itu tersinggung hati dengan Paduka Sultan kerana melantik kekanda kita menjadi bendahara. Walang di hati tidak terkira. Sudahlah kita kehilangan ayahanda, terasa diri tiada berguna,” Tun Kudu berladung air mata melepaskan perasaannya. Belas hatiku mendengarnya.
Betapa mahal harga kehidupan yang harus dibayar oleh perempuan bernama Tun Kudu ini. Apalah dayaku untuk sekadar menumpahkan rasa simpati dengan menghambur sedikit kesedihan. Bagi dayang–dayang lain yang ingin membubarkan empang air mata, berkongsi sedih kononnya, terpulanglah kepada mereka. Aku tidak dapat membodohkan diri sebegitu. Aku tidak dilahirkan sebagai pelakon yang boleh menukar watak dalam sekelip mata. Aku hanya perempuan darat yang naif dan dungu.
        Air mataku sudah kering, sudah lama kering. Semenjak dia pergi meninggalkan pergunungan tempat bergurunya. Meninggalkan aku dengan janji ingin kembali. Membawa aku keluar dari belantara dan menjadi suri hatinya di tanah Melaka.
Namun dari daksina ke paksina, dari masyrik lalu ke maghrib, penantianku akhirnya sia-sia. Dalam tilikan sang guru, cintanya sudah terkalih pada yang lain. Kasihnya sudah berlabuh di labuhan lain. Apatah lagi, tiba-tiba dia menjadi orang besar istana. Maka banyaklah kelopak mewangi menawar diri. Maka, sengsaralah aku sendirian dalam dendam sahaya berdapat-dapat.
       “Bukankah Tun Bulan anak Orang Kaya Hitam masih dara meranum? Begitu juga Tun Rakna Sandari saudara Paduka Raja. Ataupun menakan tuanku permaisuri sendiri Tun Kanaka ibarat kembang memekar di dalam jambangan? Kenapa bunga di jambangan dalam taman larangan istana yang menjadi intaian. Tidakkah tuanku terfikir akan niat Seri Nara Diraja?”
       “Kita pun berfikir demikian. Namun titah sultan, titah suruhan. Berpaling kita, derhaka rakyat, derhaka isteri, derhaka pada Allah Taala. Tidak tertanggung kita azab di sana nanti.”
       “Sudahlah Tuanku Permaisuri. Jangan difikirkan lagi. Kelak merosak diri,” pujuk Dang Mandu.
Aku terdiam juga. Tiada tercapai akalku untuk membuka jalan buat Tun Kudu meloloskan diri daripada masalah ini. Wajarkah kalau aku usulkan pembuka simpulan buat wanita cantik yang lemah lembut itu dengan membisikkan satu perancangan meninggalkan istana pada malam hari? Mahukah perempuan bermata juling air yang berbibir tipis itu bersusah-payah terhendap-hendap melepasi pengawal istana semata-mata untuk sebuah kebebasan?
       “Kita kesal. Kita kesal. Pertikaian Paduka Raja dengan Seri Nara di Raja boleh diselesaikan dengan cara yang lebih bijaksana. Kenapa kita menjadi mangsanya? Tiadakah kasih sultan terhadap kita?” Tun Kudu bersuara mendayu-dayu.
        Terhinggut-hinggut bahunya tersedu-sedan di pembaringan sehinggalah baginda lelap sendiri. Kelambu nipis kami leraikan dan kami tinggalkan baginda di peraduan. Melayan mimpi ngeri menjadi wanita cantik yang bernasib malang.
        “Apalah halnya kita sebagai dayang. Tiada upaya kita dapat membantu.” Dang Mandu bersuara sebaik sahaja bilik kami gelap gelita. Aku berbaring di atas mengkuang dan sebiji bantal lembik mengalas kepala.
        “Nampaknya Seri Nara di Raja sengaja mengonjokkan Sultan Melaka. Sekiranya Paduka Tuanku menuruti serakah si tua bangka itu, alangkah malangnya nasib Tun Kudu.” Aku bersuara di dalam kekalutan kantuk yang semakin mencengkam.
        “Aku tidak melihat Paduka Sultan mempunyai pilihan. Daripada melihat orang-orang besarnya terbahagi dan berpecah, biarlah baginda yang beralah. Haruskah Paduka Sultan kita salahkan?” tanya Dang Mandu pula.
       “Tidakkah tuan hamba mendengar yang Tun Ali itu berkisar duduk ke tengah apabila Paduka Sultan menggelar Tun Perak itu Paduka Raja. Bermakna dalam manis, Sultan Muzaffar Shah mahu Seri Nara di Raja itu meminggir diri. Jika hamba pun, hamba tersinggung. Diberi malu di balai paseban.”
        Aku membenarkan kata-kata Dang Mandu. Mungkin Paduka Sultan Muzaffar Syah sudah menimbangkan semasak-masaknya untung rugi percaturan baginda.
      "Tiadalah Raja Kasim itu bergelar sultan kalau tidak bijak laksana.” Dang Mandu terus berbicara panjang lebar. Sedang aku tidak dapat membuka lagi mata waima untuk menjeling belalang besagi di atas kepala.

“Seri Wak Raja ayahanda hamba,
Aib dirasa menanggung murka,
Tiadalah ia ketahuan punca,
Racun diminum penghapus lara.

      “Kenapa adinda masih bersenandung, lagu duka berkenaan paduka ayahanda. Hiba hati kekanda mendengarkannya.” Titah tuanku sultan yang tiba-tiba masuk ke dalam bilik peraduan mengejutkan Tun Kudu. Pantas dia mengemaskan diri lalu berdatang sembah melutut di kaki paduka sultan. Begitu juga kami para dayang, menjunjung duli meninggalkan mereka berdua-duaan laki isteri.
      “Tiadalah dinda berniat merungsingkan hati paduka kekanda. Adapun syair adinda sekadar melepaskan rindu pada almarhum ayahanda. Serta kenang-kenangan semasa kecil.”
      “Syair adinda membuatkan hati kekanda remuk redam. Kekanda mengerti apa yang bermain di fikiran kekasih kekanda yang kanda rindui siang dan malam.”
        Aku memejamkan mata. Wahai wanita yang bernama Tun Kudu. Janganlah mudah terleka dengan pujuk rayu. Lelaki memang begitu. Saat menuturkan kata, langit dan bumi mahu dijadikan satu tidak terpisah waima dek lorongan nafas. Apabila berjauhan, tiada sepicing ingatan. Aku ingin meniupkan ingatan itu ke telinga Tun Kudu. Malangnya, jasadku dengan jasad Tun Kudu terpisah dek dinding istana yang kuat dan utuh ini.
        Kali ini aku dapat merasakan betapa rengsanya perasaan Tun Kudu menghadapi detik ini. Hari ini lelaki bernama Muzaffar Shah itu masih disembah sebagai sultan merangkap suami. Esok, dia hanyalah Tun Kudu hamba rakyat Sultan Muzaffar Shah, raja besar tanah Melaka yang tersohor. Lebih memilukan, akan dikahwinkan pula dengan lelaki tua yang tidak sedarkan nyawa. Melebihkan pangkat dan kebesaran daripada sillaturrahmi apatah lagi menghargai perasaan seorang wanita. Dapatkah Tun Kudu berbahagia dengan manusia seperti itu?
        “Kita ini mangsa. Jangan tuan hamba yang menurutnya. Carilah kebebasan walau dalam paksa. Kita ini jangan dibuat contoh. Beritahulah anak cucu nanti. jangan ditiru resam Tun Kudu. Hanya menurut bagaikan lembu. Hati terbakar tak siapa tahu. Hidup bagai binatang pacu.”
        “Janganlah tuanku berkata begitu,” pujukku. Ternyata Tun Kudu benar-benar kecewa kali ini. Mungkin kedatangan Sultan tadi sudah menitahkan akan untung nasibnya.
        “Apa lagi daya kita. Talak sudah diberinya. Beserta belanja serta pesannya. Habis edah berhadirlah mengadap Seri Nara diRaja.” Ucap Tun Kudu terus berlagu sendu.
        “Mungkin ini balasan kepada kita kerana mungkir janji kepada dia.” Akhirnya, aku mendengar pengakuan itu. Aku menganggap Tun Kudu reda kerana dugaan ini sekadar memulangkan dirinya kepada masa silam. Janji setia dengan seorang lelaki yang terpaksa dilerai demi menurut titah perintah Sultan.
         Terasa dadaku juga dihempap seketul batu gunung yang maha berat. Kalaulah aku ini mahir berlawan keris atau bersilat setidak-tidaknya, mahu aku amukkan si tua bangka itu. Atau setidak-tidaknya aku silatkan agar patah riuk dan tidak mampu lagi untuk mengangkat walau seulas jari.
Bukanlah Melayu namanya kalau membiarkan sahaja maruah diinjak-injak. Diperolok seperti bola sepak raga. Dari satu kaki ke satu kaki yang lain. Biarpun lelaki Melayu itu tidak dinafikan handal menimbang bola sehingga boleh berlama di kaki.
         Keesokannya, pecahlah berita akan keberangkatan pulang Tun Kudu ke rumah ayahandanya. Tersenyumlah permaisuri-permaisuri baginda yang lainnya. Bersorak keriangan para gundik sultan. Seorang pesaing ampuh berundur keluar dari gelanggang tanpa banyak bunyi. Kami, para dayang turut mengiringi. Meninggalkan istana Melaka yang terdiri megah tetapi memijak maruah seorang gadis bernama Tun Kudu yang tidak mampu berbuat apa-apa. Apalah dayaku pula. Seorang perempuan darat yang diangkat menjadi dayang setelah cinta yang dicarinya hilang.
       “Berbaik sangkalah dengan Allah Taala, Tun Kudu,” pujuk kekanda baginda, Tun Perak.
Tun Perak itu mendapat gelar Bendahara Paduka Raja orang bijaksana. Setara kedudukannya dengan Patih Aria Gajah Mada di Majapahit. Juga setaraf bahu dengan Orang Kaya Kanayan, bijak pandai di Pasai. Tiga buah negeri yang besar dan masyhur pada masa itu. Bertangisanlah Tun Kudu di bahu kekandanya. Sesungguhnya dadalah pejuang tiada tara kerana mengorbankan diri untuk menyatukan bangsa. Bangsa yang terpecah hanya kerana hasad dengki dan ketaksuban mengejar keuntungan duniawi.

Laman web penulisan : Ilham Karangkraf
Sejarah Melayu, diusahakan oleh W.G. Shellabear, Selangor, Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd, 1991






Thursday, October 26, 2017

HIPERBOLA


Image result for hiperbola monalita

Teks : Monalita Mansor
Gambar : Carian Google

Hiperbola 

Gaya bahasa perbandingan yang menggambarkan sesuatu secara berlebihan-lebihan atau melampau-lampau hingga ada ketikanya di luar kemunasabahan. Namun begitu ia relevan digunakan untuk gambaran adjektif sesuatu keadaan itu. 

jika luas - digambarkan terlalu luas contoh : 


dari maghrib ke masyrik, dari daksina ke paksina, berjalan tujuh hari tujuh malam, barulah sampai ke hujung negeri. 



jika terlalu sedih, air mata terjun menuruni pipi, basah sehelai sapu tangan lagi diperah, duduk berendam si air mata. 

kata kuncinya ialah : hyper (berlebih-lebihan. Bola tu abaikan!)

Friday, October 20, 2017

Rumah Untuk Disewa : Nazrie Haslieanie



 
          Nazrie Haslieanie merupakan nama sebenar editor, penulis dan penyelenggara berasal dari Besut ini. Mempunyai pengalaman 10 tahun di dalam bidang penulisan seiring dengan tugasannya sebagai editor buku-buku pendidikan di sebuah syarikat penerbitan tersohor di Malaysia.
          Penglibatannya di dalam bidang penulisan bermula ketika masih bergelar pelajar universiti dengan tersiarnya cerpen berjudul “Alahai Ayah” di majalah Mingguan Wanita. Tanpa menoleh, langkahnya dihayun laju dengan penghasilan cerpen demi cerpen dan disambung pula dengan kerjaya di dalam bidang yang sama. Seterusnya, langkahnya terus gemilang dengan terbitnya dua buah novel awal remaja berjudul “Si Belang” dan “Ku Juga Punya Hati.”

          Sebagai penulis, keunikan dalam setiap karya adalah buruan yang tidak berpenghujung dan itu jugalah hasrat penulis yang sudah menghasilkan lebih 30 buah karya termasuk novel remaja, antologi cerpen, puisi dan cerita kanak-kanak.

         Beliau yang pernah terlibat dengan antologi “Sedegup Cinta” meletakkan Roald Dahl sebagai idola atas kriteria kisah-kisah yang digarap oleh penulis tersebut memberi beliau inspirasi supaya berfikir di luar kotak. Selain itu, penulis berkaca mata ini tidak spesifik dengan seseorang penulis sebagai idola berdasarkan kisah yang ditulisnya.
            
       
            Penulis buku “Budak Tin” terbitan ITBM ini juga merasakan penulisan cerpen adalah wahana terbaik untuk penulis baharu yang mencari tapak di dalam bidang ini. Pada masa yang sama, mereka dapat menghasilkan karya dengan lebih cepat dan sudah tentu lebih baik pada masa mendatang. Bagaimanapun, beliau mengingatkan, adalah penting untuk seseorang penulis itu memastikan maklumat yang ditulis adalah fakta yang tepat agar tidak dipertikaikan oleh pembaca. Pembaca pada hari ini semakin pintar kerana mereka sendiri banyak membaca dan menelaah. Penyampaian yang kreatif juga merupakan peluru yang boleh menarik minat pembaca.

          Selain daripada menulis, Nazrie Haslieanie juga sering diundang oleh pihak universiti dan sekolah untuk memberikan ceramah tentang penulisan. Selain itu, pengalaman ditemuramah oleh pelajar universiti untuk tugasan, juga turun mempromosi karya sendiri di pesta buku merupakan pengalaman berkarya yang indah bagi beliau.

     Sehingga ke tahap ini, Nazrie Haslieanie, editor muda yang berkaliber ini merasakan perjalanannya di dalam bidang penulisan masih panjang. Dia ingin sekali menghasilkan karya di dalam genre yang berbeza sebagai memenuhi tuntutan sasarannya sebagai penulis serba boleh.

           Pada tahun 2016 sahaja, sebanyak 7 buah karyanya telah diterbitkan dan kesempatan menimba pengalaman yang pelbagai ketika menulis, dimanfaatkan sepenuhnya. Nazrie Haslieanie sebelum menoktahkan temubual mengharapkan rakan penulis yang berkeinginan untuk menjadi penulis berjaya agar jangan mudah berasa puas dan mendabik dada jika karya diterbitkan kerana proses pembelajaran ini tentunya tidak pernah bernoktah.