Friday, November 17, 2017

CERPEN PILIHAN MINGGUAN

BUKAN SEPERTI AYAH
Oleh: Siti Khatijah Diana Mohd Hatta

Sumber : Google


“Mak, boleh kan? Esok hari terakhir. Cikgu cakap, sesiapa yang tidak bayar buku latihan sekolah, dia akan didenda.” Dani memberitahu.
Maya merenung lama bebola mata anak bongsunya itu. Seorang anak yang pintar dan celik hati. Permintaan itu kecil malah sepatutnya tiada masalah baginya. Namun disebabkan duit yang tinggal cukup-cukup untuk bekalan makanan mereka sekeluarga, maka terlalu sulit baginya untuk menunaikannya.
“Dani. Mak bukannya tidak mahu bagi. Cuma sekarang ini mak tiada duit lagi. Nanti mak akan usahakan cari untuk kamu ya, nak.”
  Hilang terus mood dia hari ini. Ingatkan emaknya faham, tetapi rupa-rupanya tidak. Demi melampiaskan rasa tidak puas hati, dia bingkas berdiri.
“Dani nak pergi mana itu?”
“Dani nak keluar. Main dengan kawan-kawan lagi bagus. Hilang juga tekanan. Ada orang tua pun bukannya boleh bantu.” Dani membebel, geram.
Sejujurnya, hatinya terasa begitu sakit ketika ini. Serasa baru semalam dia melihat dengan mata kepala sendiri, bagaimana emak dengan mudah menghulurkan duit kepada abangnya. Aneh. Kalau Haikal yang minta, pasti akan dapat. Kalau dia yang minta, boleh pula emaknya buat-buat tidak endah.
Tatkala itu, Maya hanya mampu mengeluh perlahan. Dia tahu Dani merajuk. Tapi biarlah dulu. Nanti pandai-pandailah dia pujuk dengan memasak menu kesukaannya.
“Assalammualaikum mak. Abang dah balik. Alhamdulillah.” Haikal menayangkan beberapa jenis ikan. Ada haruan, sepat dan juga baung. Serta-merta, wajah Maya bertukar menjadi ceria. Termakbul doa yang dipanjatkan di dalam hati tadi. Dani suka makan ikan sepat masin goreng cili api. Kalau dalam bahasa orang ada-ada, menu itu ibarat ayam goreng KFC buatnya.
“Waalaikumussalam. Alhamduillah. Rezeki kita hari ini.”
“Dani mana mak?”
“Dia keluar dengan kawan-kawan dia.”
Terus Haikal tarik muka ketat. “Mak, kan abang dah cakap banyak kali. Jangan izinkan dia berkawan dengan budak-budak itu. Mereka semua bukannya baik pun.”
“Sudah berbuih mulut mak melarang dia, Haikal. Tapi dia tidak mahu mendengar. Lagipun tadi dia merajuk dengan mak. Sebab mak tak dapat beri dia duit untuk bayar buku sekolah.”
“Ala. Biarkanlah dia dulu mak. Sejam dua lagi baiklah dia itu. Nah, apa kata mak ambil ikan ini dulu. Abang mahu solat dulu. Sudah lewat kan.”
Maya mengangguk-angguk seraya mencapai baldi berisi hasil tangkapan Haikal itu. Haikal bergegas lari masuk ke dalam rumah.
Rumah yang didiami itu, hanya mempunyai dua bilik kecil. Satu untuk kegunaan orang tua. Satu lagi sudah tentulah untuk dikongsi di antara Haikal dan Dani. Apabila berkongsi bilik begini, rasanya sukar bagi mereka untuk menyembunyikan apa-apa rahsia.
Haikal berbaring di atas katil bujang di dalam bilik itu. Jika ada Dani, maka dialah yang mengalah untuk tidur di bawah. Namun memandangkan rezeki mendatang saat ini, dapatlah dia menjajah katil itu dengan senang hati.
Sedang leka mengereng, tangan menyusup ke bawah sebuah bantal. Tiba-tiba dia seperti menyentuh sesuatu. Macam kotak. Berasa ingin tahu, dia segera mengangkat bantal itu. Terbeliak terus biji matanya. Leher terasa berbahang tiba-tiba.
‘Dani!’
Haikal mendengus kasar. Nampaknya Dani langsung tidak mahu mendengar nasihat. Saat ini, Haikal sudah benar-benar naik hantu. Dia yang mula diamuk rasa bengang, segera mencapai sebatang kayu. Apa nak jadi, jadilah.
Namun hajatnya untuk mencari Dani terbantut apabila bunyi motosikal mula  kedengaran di pekarangan rumah. Haikal menelan liur. Kecut habis segala yang bernama keberanian. Lenyap sudah kemarahan yang membelenggu dirinya tadi. Tanpa sedar, dia yang lembik lutut spontan melepaskan kayu di tangan.
“Maya! Aku nak duit ni. Cepat bagi aku duit.” Suara itu meminta dengan kasar.
“Saya tidak ada duit, abang.”
“Kau jangan sampai aku naik tangan ke muka kau! Maya.”
“Betul abang. Duit yang ada cukup-cukup untuk beli beras untuk kita anak-beranak.”
“Ah lantaklah. Aku tidak peduli. Aku nak kau bagi aku duit sekarang. Kalau tidak, nahas kau aku kerjakan.”
“Tapi...” Belum sempat Maya menghabiskan kata-kata, tapak kaki Razli sudah menendang tubuh isterinya. Maya terpelanting ke lantai. Haikal yang menyaksikan situasi itu hanya mampu menangis. Dia mahu membantu, tetapi dia langsung tidak punya keberanian.
Begitulah ayahnya. Setiap kali giannya menyerang, akalnya sudah tidak peduli pun siapa yang sedang dibelasahnya. Pernah sekali Haikal cuba menghalang Razli daripada berterusan memukul Maya. Kesudahannya, kakinya patah. Sebab itulah dia tempang sampai sekarang. Tergadai sudah cita-citanya yang mahu menjadi pemain bola sepak. Semuanya gara-gara ayah.
Keesokan hari, Dani tidak pergi ke sekolah. Malas bercampur takut kena denda. Leteran Maya langsung tidak dihiraukan.  Maya merasa sangat kesal dengan sikap Dani. Sikapnya jauh berubah.
“Dani, kamu mahu ke mana itu?” Tegurnya apabila melihat Dani sudah berada di muka pintu.
“Keluar. Jumpa kawan.”
“Sudahlah Dani. Cukup-cukuplah kamu berkawan dengan orang yang tidak senonoh. Abang Haikal tidak suka. Nanti dia marah kamu dengan mak.”
“Ah. Pedulikan. Buat apa layan budak pengecut begitu. Kalau tidak, masakan dia biarkan emak dibelasah ayah.” Dani mengejek.
Hairan betul dengan sikap abangnya. Depan Dani, beranilah dia tunjuk belang. Tunjuk kuasa konon. Sedangkan setiap kali ayah menggila, dialah yang paling cepat menyorok. Emak dia pun apa kurangnya. Minta duit untuk beli buku sekolah tidak boleh. Tapi kalau ayah mahu duit untuk beli dadah, boleh pula dia bagi.
Dan Haikal? hanya Haikal seoranglah anak emak. Dia ini barangkali anak pungut yang tidak ada harga di mata mereka anak-beranak. Emak zalim. Dia tidak adil. Dia pilih kasih. Dia ingat dia sudah buat yang terbaik untuk anak-anak. Namun, sebenarnya dia gagal. Dani benci emak. Dani benci Haikal. Dani benci semua orang.
“Alah. Cubalah dulu. Seronok.” Seorang kawannya mempelawa.
Dani keberatan. Sebabnya dia memang tidak ada bakat macam ayah untuk merokok. Namun kawannya itu tetap mendesak. Siap dicabar bahawa Dani pengecut sama seperti emak dan abangnya.
Dan apabila sering diasak, Dani mula tercabar. Rokok 'berisi' itu segera diambil lalu diselitkan ke celah mulut. Dani terbatuk-batuk beberapa kali sebelum mencuba menyedut lagi. Dan ketika itulah, Haikal muncul sambil melayangkan tumbukan padunya.
“Aku sudah cakap banyak kali, jangan kawan dengan budak-budak ini. Tapi kau tidak mahu dengar.”
“Kau jangan sibuk urusan aku, abang. Aku tahulah apa yang aku buat.”
Tidak semena-mena, satu lagi penumbuk hinggap di mukanya. Haikal bagai dirasuk setan. Dia seperti membalas dendam. Kawan-kawan Dani sudah lama cabut lari. Kawan-kawan yang diisytiharkan sebagai kawan sehidup sematinya.
“Tidak! Kau tidak tahu. Kalau kau tidak mahu mati, kau balik sekarang juga.” Haikal memberikan arahan dengan bebola mata yang mencerlung. Sebelum melangkah pergi, dia sempat menitipkan pesanan terakhir kepada Dani.
“Abang tidak mahu kau jadi seperti ayah.”
Haikal sudah menghilang. Setelah itu, Dani pun pulang ke rumah. Ternyata apabila dia sampai, dia dapat mendengar esakan tangisan seseorang di dalam rumah itu. Dani hairan. Suara itu seperti suara Haikal. Kenapa dia menangis sakan begitu?
Dan apabila Dani masuk ke dalam rumah, dia dapat melihat sekujur tubuh wanita sedang terbaring  dalam pelukan Haikal. Ada sebilah pisau terhunus di perutnya. Ketika itulah, barulah Dani faham maksud akan kata-kata abangnya sebentar tadi.
“Abang tidak mahu kau jadi seperti ayah.”
Tidak semena-mena, Dani terduduk di atas lantai. Biarpun semuanya sudah jelas, tetapi semuanya sudahpun terlambat.

 -TAMAT-

No comments:

Post a Comment