Oleh Myra Amni

Sumber gambar : Google
DULU
Seantero
tanah Malaya tahu siapa Cik Saemah. Itu belum termasuk tanah besar China, benua
kecil Hindi, tanah Asia Barat, huish, pendek kata Cik Saemah ini memang popular
amatlah. Tambahan pula, Cik Saemah orangnya lawa. Kalau di poster-poster filem box-office nama Cik Saemah memang
dicetak besar-besar, menggunakan font
maksima.
Lawanya
Cik Saemah itu tidak terlawan dek primadona ataupun biduanita lain pada zaman
itu. Jemarinya runcing dan ruas jarinya tidak menggemuk di tengah. Kukunya
jarang dibiar putih, diwarna merah untuk menambah geram lelaki bermata jalang.
Sepasang mata runcing milik Cik Saemah, kalau digunakan untuk menjeling para
serigala berwajah manusia, mahu disedut semula segala liur menjejeh dan tanpa
menyalak, akan segera menerkam. Sepasang mata juling air yang mengapit hidung
yang seakan terkepit dengan lekuk di bawahnya melatari bibir yang nipis dan
seksi, Basah dan kelihatannya sentiasa merayu. Agh! Segalanya Cik Saemahlah.
“Cinta
punya pasal, Cik Pah!” Cik Leha memuncung-muncungkan tajur di hujung bibirnya.
Cik Pah yang mencangkung sambil menampar ciuman nyamuk di punggung lebarnya
mengangguk-angguk. Pagi-pagi lagi Cik Leha sudah muncul membawa berita penting
buat peminat Cik Saemah. Cik Saemah kahwin lari! Bagi penyanjung cinta hujung
nyawa, kerja nekad membelakangkan wali dan keluarga itu adalah simbol cinta
abadi. Soal sijil nikah yang tak muncul kesahihannya tatkala rumah tangga di
hujung tanduk tidak terlintas langsung. Positif. Berkahwin bukan untuk bercerai.
Ikrar mereka.
“Kesian
mak ayahnya kan, Cik Leha…” komen Cik Pah, terangguk-angguk.
“Alah…nanti
bila dah beranak-pinak, sejuklah hati mereka. Orang tua marahnya tak lama,”
kata Cik Leha sambil mengintai-intai ke dalam dapur Cik Pah. Dia ngeri melihat jelingan
maut yang memaksudkan ‘orang perempuan memang suka tempah tiket ke neraka’
daripada laki Cik Pah yang suka menyampuk itu.
“Iya.
Kalau beranak pinak. Kalau dibuatnya doa mak ayahnya yang sakit hati makbul
masa dia lari tu. Anak tak ada, rumah tangga porak peranda, macam mana?” sampuk
laki Cik Pah disambung dengan kelentang periuk, pinggan dan sudu berlaga di
dalam sinki. Macam terkena renjatan elektrik, Cik Leha bangun dan minta diri. Dia
betulkan kain batiknya yang melonggar di pinggang yang tak berbentuk. Tajuknya
tadi hendak ke gerai nasi lemak hujung simpang. Terbabas pula ke rumah Cik Pah.
“Cik
Saemah yang kahwin lari awak sibukkan. Kalau saya kahwin lari dengan madu awak,
baru awak tahu!” Ugut laki Cik Pah. Orang perempuan ni, kalau nak disedarkan
daripada sindrom mengumpat perempuan lain, ugutlah nak dimadukan. Cepatlah
sedarnya. Walaupun niat sebenarnya tinggal niat. Laki Cik Pah tersengih-sengih.
Cik Pah yang masam mukanya terus sahaja menonong masuk ke dalam rumah.
Seperti
lazimnya manusia, mudah lupa, maka lupalah manusia di Malaya ini tentang
keberadaan Cik Saemah. Cik Saemah bintang filem terhangat yang sensasi, memudar
bintangnya sebaik menghilang mengikut kekasih hatinya ke Sudan Selatan.
Tiadalah sesiapa meskipun mengakui diri mereka peminat tegar Cik Saemah
membilang berapa kali dres yang sama dipakai atau sepanjang mana belahan kain
Cik Saemah. Peminat yang menampal poster dan pin-up Cik Saemah di dinding bilik juga sudah menggantikannya
dengan gambar bersanding atau gambar anak-anak.
KINI
Namun.
baru-baru ini, Cik Saemah muncul semula. Cik Saemah kini menjadi penerbit. Kata
Cik Saemah, pengalamannya sebagai primadona hebat satu ketika dulu akan
membantunya tanpa perlu tunjuk ajar daripada sesiapa. Penerbit-penerbit yang
ada di Malaysia sekarang ini semuanya longlai ilham. Sedangkan Cik Saemah,
sudah memasakkan visi global untuk membawa karya-karya anak tempatan ke pasaran
antarabangsa, katanya. Cik Saemah juga sudah belajar selok belok menangani
syarikat sepanjang dia berada di Sudan Selatan itu. Rupa-rupanya, kekasih yang
menjadi suami Cik Saemah itu, poketnya tebal, sama tebal dengan bibirnya.
Patutlah ketika Cik Saemah mengadakan sidang akhbar, ramai wartawan mapan tidak
mengenalinya kerana hidungnya sudah semakin terkepit dan pipinya kejun membukit
dan bibirnya tidak dapat dimuncungkan ketika berswafoto.
‘Cik
Pah, bolehlah bawak anak awak ke uji bakat syarikat Cik Saemah.’ Mesej whatsapps daripada Cik Leha mengetuk pandangan
Cik Pah. Malangnya, ketika itu Cik Pah sedang sibuk mengemaskinikan akaun
instagramnya. Dibiarkan sahaja mesej itu. Di zaman millenium ini, Cik Leha
menggunakan sepenuhnya kebolehan manipulasi laman sosial supaya tidak lagi
ditembak dengan panah kata-kata tajam laki Cik Pah seperti dulu.
“Kalau
aku sebarkan di FB atau insta, mesti jadi tular.” Cik Leha menggumam
dan terus mengongsi status Saemah tentang pencarian bakat baru untuk diuji bakat;
khusus untuk berlakon di dalam filem ‘Ratu di Balik Hijab’, terbitan ulung
syarikatnya. Penggambaran akan dilakukan di Turki, Switzerland dan London.
Sayang-sayang akak semua, cepatlah
datang uji bakat. Syarikat akan tak letak syarat, anak dara, ibu tunggal,
asalkan menepati kriteria pelakon yang kami perlukan.
Begitulah,
meriahnya status Cik Saemah di laman sosial. Cik Saemah juga memuatnaik
gambar-gambar swafoto lokasi yang terpilih dengan gaya penuh mewah. Menurut Cik
Saemah lagi, suaminya, ahli perniagaan dari Sudan Selatan itu sangat merestui
kehendaknya. Maka, berduyun-duyunlah anak-anak dara dan ibu-ibu tunggal
seantero tanah Malaysia yang teringin hendak merasai tempias glamor
berkilau-kilau menekan like dan
meninggalkan komen serta mesej. Cik Saemah juga menjanjikan Mahdi Patara, hero
idaman Nusantara bertubuh kekar dan bermata tajam akan terlibat dalam produksi
tersebut.
Sayang-sayang akak…
Akak mintak maaf sangat-sangat.
Sesi auditon yang akak janjikan di Hotel Lima Bintang terpaksa ditunda kerana
sayang akak ada hal yang tak dapat
dielakkan di Dubai. Nanti akak akan umumkan tarikh baru…sabar ya sayang-sayang
semua…muah…muah!
5 minit yang lepas
Cik
Leha menggaru-garu tengah kepala yang hampir botak. Mana satu hendak dipercaya
ni? Blog hiburan Tiong.Com baru sahaja memuatnaik gambar Cik Saemah bertudung
dan berbaju putih sedang berpegangan tangan keluar dari sebuah masjid bersama
seorang lelaki yang cerah kulitnya dan nipis bibirnya. Bukan di Dubai, tapi di
Selatan Thai!
Tamat.
No comments:
Post a Comment