Friday, November 10, 2017

CERPEN PILIHAN MINGGUAN

SURATAN UNTUKKU
Oleh: Suzana Jumadil

Image result for rumah panjang
Sumber Google



“Tangkap dia Jamot, jangan terlepas lagi kali ini...” Teriakan tuai rumah jelas di pendengaranku. Lantas, aku berusaha menjauh secepat-cepatnya daripada suara itu.

“Dia di sana, di sebelah banir tu…” Jamot berlari menghampiriku. Namun, aku lebih cepat bertindak meloloskan diri.

“Kau tahulah nasib kau kali ini. Ayam kami kau kerjakan, kan. Kali ini, kami kerjakan kau pulak…” Suara Jamot begitu bersemangat. Parang panjang yang digenggamnya dijadikan senjata mencantas semak. Lelaki Orang Ulu itu melompat cuba menetakku. Namun, aku mengelak dengan menyusuri lubang kecil di bawah banir pokok cengal.

 “Aku nak kupas kulitnya, kemudian  bakar dia hidup-hidup...” tuai rumah menyambung lagi arahan. Aku dapat membayangkan, kulit lehernya yang berkedut-kedut bergerak laju bersama-sama nafas yang bernafsu.  Kulitnya  hitam berkilat apabila dipanah cahaya matahari. Wajahnya bengis, persis seorang pembunuh yang dahagakan nyawa lawan. Kini, akulah lawannya. Seolah-olah aku ini adalah musuh bebuyutannya.

 Ketakutan mula menjalar segenap urat nadiku. Aku  berusaha menyusuri lubang kecil di bawah banir itu untuk bersembunyi. Seketika aku merasa tenang apabila tidak kedengaran suara manusia lagi.

Lantas, aku keluar daripada persembunyian. Malangnya, Jamot dan kawan-kawannya masih tidak putus asa untuk menangkap aku. Dalam keadaan tidak terkawal dan kehilangan perancangan, aku  menyusuri semak tebal, untuk meloloskan diri tanpa pedoman.

Tanpa menyedari rupa-rupanya aku kembali ke arah reban ayam.  Jamot dan kawan-kawannya sudah bersedia memasang jerat. Aku dikepung oleh anak buah tuai rumah. Namun, aku menyusuri pula laluan ke kanan yang berbatu tajam dan beronak.

Deria inframerah anugerah Allah yang aku miliki, memudahkan aku mengesan haba manusia durjana yang kian mendekat. Lalu, aku susuri pula  akar-akar pokok lain yang berbanir tinggi. Aku berusaha untuk bersembunyi seperti tadi.

            Namun sayang, keligatan tubuhku menyusuri onak duri untuk melarikan diri, rupa-rupanya tidak seampuh kepintaran manusia yang rakus ini. Ketika aku menyusuri banir pokok yang menjulang tinggi, tiba-tiba saja pergerakanku terbejat. Runcing peluru sumpit beracun milik Jamot,  terbenam tepat ke  jantungku.   Menyebabkan pergerakanku menjadi perlahan.

Aku tidak menyangka, manusia rakus ini berjaya menyumpitku. Mereka  berjaya melumpuhkan keligatanku untuk melepaskan diri. Aku dapat membayangkan warna kekalahan dalam pertarungan kali  ini.

            Sejenak masa berlalu, pergerakanku yang perlahan menjadi semakin kaku. Keupayaan yang selama ini aku milik, hilang semerta. Aku ditangkap dengan kejam. Tubuhku meliang-liuk lemah dan dimasukkan ke dalam karung guni. Sorakan kemenangan oleh Jamot dan kawan-kawannya pula mengiringi aku yang diheret dalam karung guni itu.

            Aku sudah tidak mampu melepaskan diri. Saat  leherku diikat dan dibawa menghampiri pohon  hutan di hujung perbukitan,  tuai rumah, aku lihat ketawa besar menyaksikan kekalahanku. Tiada sedikit pun rasa simpati yang terbit daripada rautnya yang berurat. Sedarlah aku bahawa  ajalku akan bertandang  sekejap lagi.

            Dalam menanti nyawa terbang daripada jasadku yang kehilangan kudrat, aku teringat anak-anakku yang  masih kecil. Anak-anakku pasti menanti kepulanganku. Aku tidak dapat membayangkan anak-anak yang masih kecil itu bakal aku tinggalkan. Mereka akan menjalani hidup ini tanpa aku. Aku pejamkan mata, siapakah yang menyara mereka kelak? Aku hidup sebatang kara. Ayah mereka? Tidak tahu siapa dan di mana.

            Anak-anak yang aku lahirkan adalah hasil hubungan senyawaku dengan beberapa jantan. Sudah menjadi  fitrah kehidupan masyarakatku. Tubuhku digauli mereka hingga aku tidak tahu lagi, siapa ayah kepada anak-anakku ini. Jantan-jantan itu pula, meninggalkan aku sesudah selesai membenamkan benih mereka  ke dalam rahimku. Aku akhirnya melahirkan anak-anak kecil penerus keturunanku, yang pastinya hanya aku yang akan menyara dan membesarkan mereka.

            “Mampus kau kali ini...” Aku terkejut dengan jerkahan tuai rumah, bayangan terhadap anak-anakku melayang hilang oleh suara parau manusia  jahat ini.

            “Jamot, gantung kepalanya pada dahan tu." Satu arahan diberikan tuai rumah kepada  Jamot. Urat sarafku yang seakan-akan lumpuh oleh bisa sumpit beracun, tidak mampu lagi berbuat apa-apa. Tubuhku longlai, hanya menurut rentak tindakan Jamot apabila kepalaku diikat merapati dahan pokok yang  tingginya sepuluh kaki.

            “Cantik kulit engkau ni. Aku jarang jumpa kulit secantik ini...” tuai rumah menyentuh kulit tubuhku.

Jemari kasarnya mengelus berulang kali kulitku. Mulutnya pula tidak henti-henti memuji kecantikanku. Sesekali dia ketawa terbahak-bahak, meluahkan rasa puas kerana memiliki aku secara mutlak. Namun, sedikit pun aku tidak terkesan apabila dipuj-puji begitu.

Sebaliknya,  ingatanku menerawang sepuluh hari ke belakang. Masih kuingat, kulitku sememangnya baru berganti. Cantik dan bersinar sisiknya, itu perkara biasa. Saat kulit lamaku merekah dan aku tinggalkan menjauh daripada tubuhku, pandangan mataku menjadi kabur berbinar-binar.

Beberapa hari aku terpaksa berdiam di dalam sarangku yang dingin. Memulihkan tenaga selepas berganti kulit memerlukan pengorbanan. Hanya aku sendiri dalam duniaku yang  tahu. Persalinan kulit kadangkala membuatkan aku insaf, bahawa kecantikan  akan dimiliki setelah kesakitan dan kepayahan dilalui.

Namun, tidak semua kecantikan yang aku miliki akan aku nikmati sendiri. Buktinya, tuai rumah yang durjana ini, pastinya dia mengambil kesempatan, memiliki kulitku yang cantik ini untuk dia membanggakan diri. Kononnya dialah perwira bangsanya apabila memakai kulitku sebagai hiasan atau aksesori peribadi.

            “Bawak sini pisau  yang paling tajam." Arahan keras tuai rumah menyebabkan ingatanku kepada peristiwa bersalin kulit hilang melayang-layang. Nada kasar tuai rumah itu menyebabkan anak-anak buahnya bergegas menyerahkan sebilah pisau yang tajam berkilat kepadanya.

            “Jamot, kau ambil tangga dan  toreh pergelangan lehernya. Ingat, jangan sampai luka  kulitmya. Aku nak kulitnya yang cantik ni dalam keadaan sempurna.” Arahan tuai rumah lekas-lekas dilaksanakan Si Jamot.

            Aku, dalam menanti ajal yang bakal menjengah, dapat merasakan torehan pada kulit leherku. Air mata sudah kering untuk menangisi kesakitan. Aku pasrah, jika selepas ini aku menjadi mangsa manusia.  Itulah takdir untukku.

            Sewaktu kulitku dilurut seinci demi seinci, kesakitan dan azab yang kuderitai tidak dapat aku gambarkan dengan kata-kata. Isi dagingku dipisahkan dari kulitku yang baru berganti, memang lekat dan payah untuk dipisahkan. Semakin sakit apabila mata pisau milik tuai rumah menyiat-nyiat isi kulit dari dagingku.

            Tenaga kukerah meliang-liuk dalam kudrat yang semakin minima. Menahan kesakitan yang bermaharajalela oleh kejahatan manusia durjana ini. Namun, akhirnya mereka berjaya menelanjangiku.

            Kulitku keseluruhannya berjaya dilurut hingga ke hujung ekor. Kini, tubuhku hanya tinggal daging yang polos. Tubuhku yang tidak berkulit ini, mula terasa dingin disapa bayu petang tanpa apa-apa lapisan.

            Dunia kurasakan sepi dalam riuh rendah manusia sekelilingku yang menyaksikan kekalahanku. Mungkin sudah suratan, aku mati di tangan tuai rumah. Kini, tenagaku sudah tidak bersisa sedikit pun, mengerdipkan kelopak mata pun aku tidak larat lagi.

            “Rasakan ini...” Tuai rumah menghidupkan pula api  di bawah dahan pokok tempat aku digantung. Isi daging pada tubuhku mula merah kehitam-hitaman oleh bara dan nyalaan api yang kian marak. Semilir bayu petang tidak lagi dingin menyapa tubuhku yang  kini sedang dipanggang.

            Daging tubuhku masak  sedikit demi sedikit. Sorak sorai manusia di sekelilingku semakin hilang dari pendengaran. Kesakitan yang menjalar, kini menjelmakan khabar kematian. Mataku yang semakin kabur dapat melihat bayangan malaikat maut yang semakin dekat menghampiriku.

            Sebelum rohku  bergerak meninggalkan jasad, malaikat maut  telah mengkhabarkan sesuatu kepadaku. Perkhabaran berupa bayangan dan watak  tuai rumah bersama pengikut-pengikutnya selepas kematianku nanti. Perkhabaran yang menyebabkan aku tersenyum tanpa merasa kesakitan lagi.

            Dalam perkhabaran itu, aku diperlihatkan yang tuai rumah dan pengikut-pengikutnya akan mati bergelimpangan selepas subuh esok.  Mereka mati setelah menjamah dagingku yang sudah diresapi bisa racun yang mereka ciptakan sendiri. Mayat mereka akan membusuk dan berulat tanpa ada upacara pengebumian.

                                                              -TAMAT-

No comments:

Post a Comment