Friday, November 24, 2017

CERPEN PILIHAN MINGGUAN

SELIPAR KAHWIN
Oleh: Faizah Mohd Noh

Sumber : Google

Angin yang berhembus meramas manja wajah bulat milik Suriati. Sesekali diselaknya rambut yang menyentuh dahi akibat ditiup angin lalu.. Manakala, kakinya disusun meniti berhati-hati di atas titi kayu yang elok terletak menghubungkan jalan tar mini ke petak bendang.
Sampai sahaja di kawasan bendang, Suriati memejamkan mata seolah-olah bertafakur. Nafasnya ditarik dan dihembus perlahan. Kemudian, matanya dibuka. Sajian saujana kehijauan yang mengasyikkan di sekelilingnya dinikmati penuh ghairah. Rasanya, mahu sahaja dia menjamah semua keindahan yang terhidang.
 Tangannya didepakan sambil menghirup udara pagi di kawasan bendang. Nyaman. Suasana kabus di kejauhan menjadi hiasan. Bau pokok padi, bercampur selut menjadi santapan hidung. Amat mendamaikan. Terasa hilang segala keresahan, diganti pula dengan sejuta ketenangan.

 Amir yang berada selang dari beberapa petak sawah itu terkebil-kebil. Diperhatinya setiap ulah perempuan tadi. 'Pelancong sesat mana ni?' Ditolak sedikit sengkuap topinya untuk mendapatkan pandangan jelas sehingga terpercik selut ke muka. 'Ralit dengan perempuan ni, tak pasal-pasal aku berbedak sejuk, pagi-pagi ni.' Dikuisnya selut yang bersisa di pipi dengan jari. Semakin lebarlah sapuan 'bedak sejuknya' di muka. Diperhatikan gadis itu semula dengan kening yang hampir bertaut. Amir garu kepala sendiri.
Amir menjongketkan bahu. Gagal mendapat jawapan, dia terus kembali menggauli selut dan anak padi yang seakan tersenyum menagih perhatiannya.
“Kalaulah saya tahu, betapa cantiknya kawasan ni, dah lama saya datang sini,”  ujar Suriati penuh kagum. Dia duduk di atas papan kekuda, sambil matanya mengawasi Puan Halimah meraut daun kelapa.
“Sini memang cantik. Banyak dok mai tangkap gambar orang kahwin.” Lidi-lidi yang telah diraut diletakkannya ke tepi.
“Saya terus jatuh cintalah dengan kampung mak ni...”
“Ha, lain kali mai lagi. Tidoq lama-lama kat sini.” Ramah Puan Halimah dengan senyuman yang ikhlas terbentuk di bibirnya. Walaupun hanya berkenalan melalui media sosial, namun ukhuwah atas nama ALLAH telah menemukan mereka. Seringkali juga Suriati menegakkan bahawa, laman sosial adalah pilihan. Sama ada menggunakan untuk keburukan, mahupun kebaikan. Tangan sendirilah yang menentukan.
“Terubat rindu mak dengan anak-anak mak yang jauh.” Ada cahaya kebahagiaan yang terpancar lewat mata wanita itu. Anak-anaknya semua jauh di perantauan. Kalau balik pun, hanyalah untuk menyambut Syawal setahun sekali.
“Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya saya kat sini, tak adalah dok perabis beras mak je kan?” seloroh Suriati manja. Kepalanya dilentokkan ke bahu Puan Halimah. Kalau wanita itu rindukan anaknya, Suriati pula merindukan ibu dan bapanya yang telah lama tiada.
“Mak ngah!” Satu suara garau menganggu.
“Ya, aku kat belakang ni.” Suara Puan Halimah dilontarkan kuat.
“Ha,...” ayatnya terhenti di situ. Terasa lidahnya makin pendek pula untuk mengungkapkan kata-kata. Bidadari mana pula yang menjadi tetamu ibu saudaranya itu?
“Ha, dah siap ke tabur baja?”
Gulp! Amir telan air liur apabila dijerkah oleh Puan Halimah.
“Dah. Err, tak apalah, Amir balik dulu.” Amir gelabah.
“Eh, budak ni. Sat lah, ambil duit upah.” Puan Halimah melangkah masuk ke dalam rumah. Tinggallah mereka berdua. Amir mengalihkan pandangan, sesekali menunduk melihat kakinya yang menguis-nguis dengan selipar jepun hijaunya itu.
“Rumah kat mana?” Suriati ramah bertanya, mengusir kebisuan yang tercipta.
“Nuu..” mulutnya dimuncungkan menghala ke rumah papan yang boleh nampak dari tempat dia berdiri.
Tiba-tiba Suriati tertawa. Dahi Amir berkerut. Kenapa dia ketawa?
“Awak gelak apa?”
“Kasut awak.”
“Alamak!” Amir sengih macam kerang busuk. Baru dia tersedar, selipar jepunnya itu sebelah warna merah, sebelah warna hijau. “Kalut tadi, sat lagi nak balik pi masjid pulak. Sembahyang Jumaat.” Itulah sebenar-benarnya alasan yang terlintas di fikirannya sekarang.
Alhamdulillah. Sejuk hati Suriati apabila mendengar alasan itu. Tawanya terhenti. Dia sukakan lelaki yang taat perintah ALLAH. Walaupun dia belum kenal sepenuhnya, tetapi sekurang-kurangnya bicara lelaki itu tidak menyakitkan hati. Dan, itu adalah gambaran awal tentang lelaki yang berada di hadapannya kala ini.
“Ha, nah. Esok meracun pulak tau.” Puan Halimah muncul dari dalam rumah. Wang kertas bertukar tangan. Cepat-cepat Amir melangkah pergi. Kalau lama dia situ, mungkin mukanya akan hangus terus nanti.
Dalam hati, dia menyumpah dirinya sendiri. Sebabnya tersilap sarung selipar. Kan dah kena gelak. Jatuh saham aku! Suara hatinya menjerit. Namun, diseretnya juga selipar kahwin itu dengan penuh rasa keyakinan sehingga sampai ke rumah.
Suriati menghantar langkah Amir dengan senyuman.
“Anak saudara mak tu. Belum kahwin lagi.”
“Ish, mak ni. Macam tahu-tahu sahaja Su nak tanya pasal tu.”
“Mak ni orang lama, sekilas ikan di air, dah tahu jantan betinanya. Sekilas ikan di pasar, dah tahu berapa ringgit sekilo.”
Berderai tawa mereka.

“Wah, meriahnya mak. Seronoknya.” Betapa teruja Suriati apabila melihat beberapa orang kanak-kanak sedang bergelumang di dalam bendang. Selut sudah sampai ke kepala, langsung tidak dihiraukan oleh mereka.
Depa tengah serkap ikan tu.” Dahi Suriati berkerumut dengan ulasan Puan Halimah.
Nampak sahaja riak wajah Suriati yang kosong itu membuatkan Puan Halimah menambah. “Nampak kan, depa serkap ikan, kat dalam kubang tu..”
            “Mak...nak cuba.” rengek Suriati. Lengan baju ibu angkatnya  ditarik manja.
            “Ish, nanti kotorlah! Suriati.” Puan Halimah berat mahu membenarkan. Takut nanti kalau terjadi apa-apa, dia yang perlu bertanggungjawab. Budak bandar, perempuan pula tu, tahan ke main selut?
            “Bolehlah mak...”       
            “Ha, pi lah.. hati-hati tau.” Berat, tapi terpaksa. Suriati bukan budak kecil lagi.  Maka, dia perlu membebaskan.
Puan Halimah menapak ke pelenggar kayu di depan rumah. Memerhati dari jauh. Hatinya turut terhibur dengan keletah budak-budak itu.
            “Yeayy!!" Beberapa kali juga percubaan Suriati, barulah dia berjaya mendapat  ikan. Kemudian, makin seronok dia meneruskan aktiviti itu. Selut yang makin mengering di mukanya langsung tidak dipedulikan.
Rupa-rupanya, dia bukanlah gadis yang penakut. Dia bukan seperti gadis kota yang lain. Kematangannya langsung tidak menggambarkan umurnya yang baru dua puluh enam tahun. Puan Halimah mengangguk sendiri. Makin memahami Suriati.
            Riuh rendah suara Suriati dengan budak-budak itu turut menarik perhatian Amir yang sedang membuka lubang tali air di petak bendang yang tidak terlalu jauh dari situ. Bibirnya tersenyum penuh makna.
            “Akak, tu! Situ..cepat..cepat!” Cepat-cepat Suriati menyerkap tempat yang ditunjukkan oleh budak lelaki itu. Tangannya diseluk ke dalam lubang, lalu dia meraba-raba dalam selut itu.
            “Ha...dapat!” Suriati menggenggam kemas hasil tangkapannya itu lalu dijulang sambil menampakkan wajah riak yang dibuat-buat.
            “Eeeiii..akak! Tu ular lah.
            “Hah?" Bertempiaran mereka lari seperti lipas kudung naik ke atas batas bendang. Sampai tercungap-cungap. Kemudian, sama-sama ketawa sampai pecah perut.
 Orang di sana pada mulanya agak risau, akhirnya turut terbahak-bahak ketawa seorang diri di tengah-tengah bendang melihatkan gadis itu disapa sang ular.
           
            “Sedapnya mak. Tak pernah saya makan ikan bendang.” Isi ikan haruan digaul dengan nasi lalu disuap ke dalam mulut. Mereka hanya duduk makan di atas tikar mengkuang yang dianyam sendiri oleh Puan Salmah. Memang nostalgia, tetapi jangan main-main, Puan Halimah ada Facebook tau.
            “Itulah untungnya dok kampung ni. Tu pun, kampung sekarang dah banyak yang moden.”
            “Mak, ikan haruan ni mak masak apa ni?”
            “Ha, ni namanya masak jeruk. Su jangan dok ingat macam jeruk mangga pulak.”
            “Pandailah mak ni, baru je jeruk mangga tu nak masuk dalam otak ni, mak dah cantas.” Ketawa Suriati turut disambut oleh Puan Halimah.
            “Masak jeruk ni, ikannya kena goreng dulu. Lepas tu, menumis macam biasa, masuk air, dan masukkan cuka.”
            “Oh, sebab tu lah rasanya ada masam-masam sikit  ye.”
            “Pandai pun anak mak ni. Ha, tambah lagi nasi tu. Makan puas-puas.”
            “Awak. Buat apa tu?”
            Hampir tersembur air kopi dari mulut Amir. Ditelannya dulu yang bersisa, barulah dia menoleh. Di belakangnya Suriati sudah elok tersengih dengan gigi yang tersusun.
            “Maaf, buat awak terkejut.”
“Tak apa. Awak pula buat apa kat sini?” Tergagap-gagap Amir bertanya. Dia yang duduk bersila atas batas bendang itu menoleh kiri kanan, bimbang ada yang membawa fitnah nanti. Tidak sanggup dia menconteng arang ke muka ibunya.
“Saja ambil angin pagi. Dingin je. Bau segar pokok padi ni buat saya rasa tenang.”
“Oh.” Pendek jawapannya. Amir memang tidak pandai bergaul, apatah lagi dengan perempuan. Deria malunya akan mencapai tahap maksimum.
“Awak nak meracun ke?” Suriati bertanya begitu, kerana dilihatnya ada dua tiga jenis botol racun tidak jauh dari tempat mereka berbual.
“Ye. Nak meracun.”
“Kenapa banyak sangat botol racun tu?”
“Macam-macam jenislah, sebab banyak penyakit yang akan hinggap dekat pokok padi ni.”
“Oh, pokok padi pun ada masalah ke?”
“Mestilah. Banyak tau masalahnya. Daripada mula-mula, akan ada masalah air tak cukup. Kemarau dan sebagainya. Pokok padi ni, masa kecil tak boleh terlalu banyak air, tapi tak boleh terlalu kering. Kena sederhana. Tempoh macam ni, masalah tikus pun ada. Sampaikan kami terpaksa menabur benih padi buat kali kedua untuk menggantikan benih yang telah dimakan tikus.
“Ooo...”
“Kemudian, kami perlu membaja, untuk menyuburkannya. Mungkin akan ada masalah Bena Perang, ulat, dan penyakit lain. Siput Gondang pun turut mengambil bahagian.”
“Siput Gondang? Mesti sedap kalau dibuat masak lemak kan?”
Amir tepuk dahi.
“Awak, Siput Gondang tak boleh makan. Kalau boleh dimakan, ia tak akan menjadi masalah untuk petani, malah boleh jadi sumber makanan tengah hari pulak.” Seloroh Amir yang sudah mula selesa dengan Suriati.
“Oh, banyak juga masalah petani ye. Saya ingatkan orang bandar je ada masalah.” Suriati sekadar meninggung. Dia takut untuk terus duduk di atas batas bendang tersebut.
“Awak, ranjau akan ada sepanjang jalan hidup kita. Siapa pun kita, telah ALLAH tetapkan ujiannya. Mungkin pada kita, masalah orang lain itu kecik, tapi sebenarnya mungkin besar bagi yang menghadapinya. Jadi, janganlah kita cepat menganggap, kita sahaja yang selalu diuji ALLAH.”

“Kita larilah sejauh mana pun dari masalah, masalah tetap akan ikut kita. Ia macam bayang-bayang. Tak mungkin terpisah. Jadi, bersahabatlah dengan masalah, pasti kita akan jumpa penyelesaiannya. Sebab, hanya kita akan kenal semua tentang sahabat kita kan?”
Rahang Suriati terbuka. Mendengarkan hujah Amir, dia berasa seperti berada dalam kandang pesalah di mahkamah yang sedang dibicarakan. Memang  masalahlah yang membawa dia ke sini.
“Awak buat saya sedar.” Suriati memandang ke hadapan.
“Apa pun masalah kita, ALLAH tak akan menguji lebih dari kemampuan kita.”
“Awak nak tahu masalah saya?”
“Awak simpanlah. Kalau boleh, jangan ceritakan aib kita pada orang. Sedangkan ALLAH dah tutup aib kita dari pengetahuan orang, kita pula nak membukanya. Kadang-kadang tak semua benda, kita patut tahu. Kadang-kadang lebih elok, kalau kita langsung tak tahu.” Penuh tersurat dan tersirat pesanan daripada Amir.
Terdiam. Tergamam. Bagaikan ada tangan yang menampar wajah. Memang terkena batang hidung sendiri. Suriati senyum malu lalu tertunduk. Rasa kerdilnya dia apabila berada dengan Amir. Memang betul, kejayaan bukan diukur pada sijilnya.
“Betul juga tu. Terima kasih awak.”
“Saya nak sambung meracun ni. Awak baliklah.”
“Awak halau saya ke?”
“Tak halau, pacat tu yang halau.”
“Hah? Mana? Mana?” Suriati mengibas baju dan seluarnya. Mukanya bertukar merah kerana membayangkan kegelian apabila binatang yang elastik itu  melekat di betisnya.
“Saya gurau sajalah.” Tong pam racun itu dikeleknya ke belakang. Melangkah dengan tawa yang mengekek.
Suriati ketap gigi. Nak marah? Tidak mungkin. Tidak mungkin dia akan marah kepada seseorang yang hadir pada saat dia kehilangan semangat untuk menghadapi kenyataan. Sebenarnya, dia sedikit terhibur dengan gurauan seperti itu. walaupun air matanya hampir keluar kerana mahu menangis akibat pacat tadi.
“Dia tu baik. Tapi, mak tak berani nak kenalkan dengan Su. Ya lah, Su kan ada ijazah, kerja pun bagus. Tapi, Amir tu kerja kampung saja. Belajar pun setakat SPM ja.”

Puan Halimah sedang merendam daun mengkuang yang telah dirautnya ke dalam tempayan berisi air di halaman rumah. Cukup tiga hari, apabila hilang warna asal mengkuang itu, barulah ia dijemur sehingga kering.
“Bagi saya, kejayaan bukan destinasi. Tapi, kejayaan adalah satu perjalanan.” Kakinya dihayunkan dari atas pelenggar sambil memerhatikan Puan Salmah yang sibuk dengan kerjanya itu.
“Dalam maksudnya tu.” Dia berdiri tegak. Pinggangnya diketuk-ketuk dengan penumbuk yang digenggam bagi menghilangkan lenguh akibat berbongkok tadi.
“Buat apa dikejar semua tu mak. Sebenarnya semua tu akan buat kita makin lupa pada Maha Pencipta. Buat kita rasa bangga dan bongkak. Ibarat berdiri, tak akan rebah lagi.”
“Kenapa Su cakap macam tu?” Puan Halimah mahu menguji Suriati. Dia mencari personaliti Suriati melalui hujah yang dilontarkan. Dari situ, dia boleh menilai siapa gadis di hadapannya sekarang.
“Kadang-kadang ada orang yang sentiasa mengucap Alhamdulillah di mulutnya kerana rezeki masuk kiri kanan, tapi puasanya culas, sembahyangnya tidak. Ada yang kaya, solat, tapi sedekahnya liat. Ada yang berpangkat tinggi, gelaran hebat, tapi bongkak dan riak. Ada yang kaya, berpelajaran sampai menara gading, tapi amalnya tidak.”
“Ye kan, berjaya celah mana kalau sikap kita macam tu ye.”
“Sebab tu lah, kita kena jadikan mereka ni pengajaran, agar kita tidak tergolong dalam orang-orang yang sia-sia.
“Amin.” Puan Halimah duduk, melepaskan penat di sebelah Suriati

 “Wow! Banyaknya. Rajinnya awak tanam.”
Amir garu kepala. Sedikit malu dengan pujian daripads Suriati. Malu, kerana dia hanya anak kampung yang mampu menanam sayur-sayuran, bukannya mendapatkan projek-projek besar seperti yang terhidang dalam drama Melayu yang sering ditontonnya di kaca televisyen.
“Yang ni sawi, cili besar. Elok makan sayur kampung, bebas dari racun kimia. Lagipun, dijamin halal.”
“Betullah kan. Patutlah, orang kampung ni kuat-kuat kan.”
“Alhamdulillah, itulah untungnya jadi orang kampung. Awak tak nak jadi orang kampung?”
“Soalan perangkap.” Bisik suara Suriati tetapi jelas di pendengaran Amir.
Amir mengalih wajahnya ke arah lain. Malu.
“Itu pokok apa?” Suriati tidak mahu terus hanyut dengan mainan perasaan. Dia sudah serik.
“Itu bayam kampung.”
“Lainlah daripada yang kat pasar.”
“Ha, itu bayam bandar.” Amir ketawa kuat. Suriati juga. Mengata akulah tu! Jerit hati Suriati gembira diusik begitu.
“Aku nak kau tukar nama geran ni.”
“Kau tak tahu malu ker? Itu harta aku lah.”
“Kau dah tinggalkan aku, jadi kau kena bayar semuanya. Masa, wang dan semua yang aku luangkan untuk kau?”
“Harta? Masa? Kau ni memang syaitanlah!”
Pang! Tamparan menyakitkan singgah di pipi Suriati. Bukan sekali ini, malah telah berkali-kali hingga dia sudah bagai melupakan rasa sakitnya akibat sering dipukul.
“Jantan tak guna! Kau boleh bermegah dengan kemewahan atas titik peluh aku? Kau boleh hidup senang dengan hasil pendapatan aku? Kau tak tahu malu ke? Dahlah kau tak hargai aku, kau pukul aku macam anjing!” jerit Suriati kepada lelaki itu sambil memegang pipinya.
Aku yang dikatakannya buang masa dia. Ambil harta dia? Tu semua harta akulah! Jantan tak guna!
“Su..” Tersentak. Suriati meraup wajahnya bagai membasuh luka yang terbias pada ketika itu. Terbang semua lamunannya tadi.
“Awak tak apa-apa?” Amir melabuhkan punggungnya di atas pelenggar. Dibiarkannya ada jarak antara mereka.
“Tak..bila awak sampai?”
“Sampai tak sedar saya sampai.”
“Maaf, mengelamun tadi.”
“Orang yang menangis untuk sesuatu yang telah pergi adalah orang yang memilih untuk menangis di sepanjang jalan hidupnya.”
“Macam mana awak tahu?”
“Saya tengok air mata awak yang dah bergenang tu pun, saya dah tahu. Perempuan tak akan menangis melainkan melibatkan hati dan perasaan.”
Suriati tersenyum. Air matanya yang bergenang itu dilap perlahan. Bijak betul Amir meneka.
“Mak ngah mana?” Mukanya menoleh ke kiri kanan mencari kelibat Puan Halimah.
“Solat.”
“Awak tak solat?”
Suriati mencebik. Amir pula mengekek ketawa.
“Tolonglah Su. Saya merayu. Maafkanlah saya.” Hafiz tiba-tiba muncul di kampung ini. Pastinya ada agenda tersendiri.
“Maaf, aku tak akan terima orang yang sama, dua kali dalam hidup aku.” lantang Suriati menolak permintaan Hafiz.
“Saya dah berubah. Betul, saya sumpah, saya dah berubah.”
“Sudahlah, semuanya telah berakhir. Aku bukannya kain buruk yang diambil hanya untuk mengelap kaki.” Suriati mula meninggikan suaranya.
“Tolonglah, saya tak dapat hidup tanpa awak!”
“Tolonglah, lepaskan aku.”
“Saya merayu.” Kaki Suriati dipeluknya.
Ada air mata yang mengalir. Hati wanitanya tersentuh. Haruskah diberi peluang kedua? Sedangkan dia adalah orang yang sama? Betulkah dia berubah? Betulkah?
Amir hanya menyaksikan sandiwara itu. Dia mahu menghalang, tapi takut nanti dikatakan lebih sudu dari kuah. Walaupun begitu, keselamatan Suriati diawasi dari tadi.
Seketika, mata mereka bertentang. Amir memandang Suriati, Suriati menatap mata Amir. Lalu, ditolaknya lelaki yang pernah mensia-siakan hidupnya hingga terjatuh. Kakinya dibawa melangkah kepada Amir.
“Kami bakal berkahwin. Dia yang terbaik untuk aku. Harap kau faham.”
“Kau tipu! Kau tipu!” Pisau dikeluarkan dari poket seluar. Menggigil tangannya menghunus pisau itu. Sudah pasti akal Hafiz telah hilang kewarasan. Matanya merah mencerlung. Ada bara yang terbakar lewat matanya.
Amir cepat-cepat melangkah  ke hadapan, melindungi Suriati. Direnung musuhnya itu dengan makna. Mencari di mana kelemahan pihak lawan, lagaknya.
Dengan tidak teragak-agak, Hafiz meluru mahu menikam Amir. Dengan pantas, Amir mengelak dan dikilasnya tangan Hafiz. Kakinya melipat kaki Hafiz sehingga melutut.  Pisau terlepas dari genggaman. Wajah Hafiz menampakkan kesakitan. Meronta dia minta dilepaskan.
“Pergi dari sini, atau kau akan merasa lebih teruk dari ini. Kembalilah pada ALLAH, Jangan mati dalam keadaan yang sia-sia.” Tegas suara Amir memberi amaran kepada Hafiz. Dia berubah seratus peratus apabila berhadapan dengan lawan.
Hafiz terus melarikan diri apabila dilepaskan oleh Amir. Keretanya dihidupkan dan terus meluncur meninggalkan Kampung Alor Tebuan. Tidak disangka, dia perlu berdepan dengan orang yang tinggi ilmu persilatannya. Ternyatalah, dirinya tewas.
Dia lelaki yang dipilih. Walaupun bekerja biasa, tapi punya karisma yang mempesona. Tidaklah kacak mana, tapi manisnya ada, dengan kulit hitam si tampuk manggis, dihias gigi siung, membuatkan senyumannya manis umpama gula. Walaupun tidak bergelar ustaz, tapi agamanya ada, Walaupun tidak bergelar laksamana, cukuplah digelar panglima.
Suriati senyum sendiri melihat jarinya merah berinai. Esok adalah hari penyatuan dua jiwa antara dia dan Amir. Betul katanya, kejayaan bukan destinasi, tapi kejayaan adalah satu perjalanan. Pilihlah apa pun, kerana ALLAH, pastinya ianya adalah pilihan yang tepat.

 -TAMAT-



Friday, November 17, 2017

CERPEN PILIHAN MINGGUAN

BUKAN SEPERTI AYAH
Oleh: Siti Khatijah Diana Mohd Hatta

Sumber : Google


“Mak, boleh kan? Esok hari terakhir. Cikgu cakap, sesiapa yang tidak bayar buku latihan sekolah, dia akan didenda.” Dani memberitahu.
Maya merenung lama bebola mata anak bongsunya itu. Seorang anak yang pintar dan celik hati. Permintaan itu kecil malah sepatutnya tiada masalah baginya. Namun disebabkan duit yang tinggal cukup-cukup untuk bekalan makanan mereka sekeluarga, maka terlalu sulit baginya untuk menunaikannya.
“Dani. Mak bukannya tidak mahu bagi. Cuma sekarang ini mak tiada duit lagi. Nanti mak akan usahakan cari untuk kamu ya, nak.”
  Hilang terus mood dia hari ini. Ingatkan emaknya faham, tetapi rupa-rupanya tidak. Demi melampiaskan rasa tidak puas hati, dia bingkas berdiri.
“Dani nak pergi mana itu?”
“Dani nak keluar. Main dengan kawan-kawan lagi bagus. Hilang juga tekanan. Ada orang tua pun bukannya boleh bantu.” Dani membebel, geram.
Sejujurnya, hatinya terasa begitu sakit ketika ini. Serasa baru semalam dia melihat dengan mata kepala sendiri, bagaimana emak dengan mudah menghulurkan duit kepada abangnya. Aneh. Kalau Haikal yang minta, pasti akan dapat. Kalau dia yang minta, boleh pula emaknya buat-buat tidak endah.
Tatkala itu, Maya hanya mampu mengeluh perlahan. Dia tahu Dani merajuk. Tapi biarlah dulu. Nanti pandai-pandailah dia pujuk dengan memasak menu kesukaannya.
“Assalammualaikum mak. Abang dah balik. Alhamdulillah.” Haikal menayangkan beberapa jenis ikan. Ada haruan, sepat dan juga baung. Serta-merta, wajah Maya bertukar menjadi ceria. Termakbul doa yang dipanjatkan di dalam hati tadi. Dani suka makan ikan sepat masin goreng cili api. Kalau dalam bahasa orang ada-ada, menu itu ibarat ayam goreng KFC buatnya.
“Waalaikumussalam. Alhamduillah. Rezeki kita hari ini.”
“Dani mana mak?”
“Dia keluar dengan kawan-kawan dia.”
Terus Haikal tarik muka ketat. “Mak, kan abang dah cakap banyak kali. Jangan izinkan dia berkawan dengan budak-budak itu. Mereka semua bukannya baik pun.”
“Sudah berbuih mulut mak melarang dia, Haikal. Tapi dia tidak mahu mendengar. Lagipun tadi dia merajuk dengan mak. Sebab mak tak dapat beri dia duit untuk bayar buku sekolah.”
“Ala. Biarkanlah dia dulu mak. Sejam dua lagi baiklah dia itu. Nah, apa kata mak ambil ikan ini dulu. Abang mahu solat dulu. Sudah lewat kan.”
Maya mengangguk-angguk seraya mencapai baldi berisi hasil tangkapan Haikal itu. Haikal bergegas lari masuk ke dalam rumah.
Rumah yang didiami itu, hanya mempunyai dua bilik kecil. Satu untuk kegunaan orang tua. Satu lagi sudah tentulah untuk dikongsi di antara Haikal dan Dani. Apabila berkongsi bilik begini, rasanya sukar bagi mereka untuk menyembunyikan apa-apa rahsia.
Haikal berbaring di atas katil bujang di dalam bilik itu. Jika ada Dani, maka dialah yang mengalah untuk tidur di bawah. Namun memandangkan rezeki mendatang saat ini, dapatlah dia menjajah katil itu dengan senang hati.
Sedang leka mengereng, tangan menyusup ke bawah sebuah bantal. Tiba-tiba dia seperti menyentuh sesuatu. Macam kotak. Berasa ingin tahu, dia segera mengangkat bantal itu. Terbeliak terus biji matanya. Leher terasa berbahang tiba-tiba.
‘Dani!’
Haikal mendengus kasar. Nampaknya Dani langsung tidak mahu mendengar nasihat. Saat ini, Haikal sudah benar-benar naik hantu. Dia yang mula diamuk rasa bengang, segera mencapai sebatang kayu. Apa nak jadi, jadilah.
Namun hajatnya untuk mencari Dani terbantut apabila bunyi motosikal mula  kedengaran di pekarangan rumah. Haikal menelan liur. Kecut habis segala yang bernama keberanian. Lenyap sudah kemarahan yang membelenggu dirinya tadi. Tanpa sedar, dia yang lembik lutut spontan melepaskan kayu di tangan.
“Maya! Aku nak duit ni. Cepat bagi aku duit.” Suara itu meminta dengan kasar.
“Saya tidak ada duit, abang.”
“Kau jangan sampai aku naik tangan ke muka kau! Maya.”
“Betul abang. Duit yang ada cukup-cukup untuk beli beras untuk kita anak-beranak.”
“Ah lantaklah. Aku tidak peduli. Aku nak kau bagi aku duit sekarang. Kalau tidak, nahas kau aku kerjakan.”
“Tapi...” Belum sempat Maya menghabiskan kata-kata, tapak kaki Razli sudah menendang tubuh isterinya. Maya terpelanting ke lantai. Haikal yang menyaksikan situasi itu hanya mampu menangis. Dia mahu membantu, tetapi dia langsung tidak punya keberanian.
Begitulah ayahnya. Setiap kali giannya menyerang, akalnya sudah tidak peduli pun siapa yang sedang dibelasahnya. Pernah sekali Haikal cuba menghalang Razli daripada berterusan memukul Maya. Kesudahannya, kakinya patah. Sebab itulah dia tempang sampai sekarang. Tergadai sudah cita-citanya yang mahu menjadi pemain bola sepak. Semuanya gara-gara ayah.
Keesokan hari, Dani tidak pergi ke sekolah. Malas bercampur takut kena denda. Leteran Maya langsung tidak dihiraukan.  Maya merasa sangat kesal dengan sikap Dani. Sikapnya jauh berubah.
“Dani, kamu mahu ke mana itu?” Tegurnya apabila melihat Dani sudah berada di muka pintu.
“Keluar. Jumpa kawan.”
“Sudahlah Dani. Cukup-cukuplah kamu berkawan dengan orang yang tidak senonoh. Abang Haikal tidak suka. Nanti dia marah kamu dengan mak.”
“Ah. Pedulikan. Buat apa layan budak pengecut begitu. Kalau tidak, masakan dia biarkan emak dibelasah ayah.” Dani mengejek.
Hairan betul dengan sikap abangnya. Depan Dani, beranilah dia tunjuk belang. Tunjuk kuasa konon. Sedangkan setiap kali ayah menggila, dialah yang paling cepat menyorok. Emak dia pun apa kurangnya. Minta duit untuk beli buku sekolah tidak boleh. Tapi kalau ayah mahu duit untuk beli dadah, boleh pula dia bagi.
Dan Haikal? hanya Haikal seoranglah anak emak. Dia ini barangkali anak pungut yang tidak ada harga di mata mereka anak-beranak. Emak zalim. Dia tidak adil. Dia pilih kasih. Dia ingat dia sudah buat yang terbaik untuk anak-anak. Namun, sebenarnya dia gagal. Dani benci emak. Dani benci Haikal. Dani benci semua orang.
“Alah. Cubalah dulu. Seronok.” Seorang kawannya mempelawa.
Dani keberatan. Sebabnya dia memang tidak ada bakat macam ayah untuk merokok. Namun kawannya itu tetap mendesak. Siap dicabar bahawa Dani pengecut sama seperti emak dan abangnya.
Dan apabila sering diasak, Dani mula tercabar. Rokok 'berisi' itu segera diambil lalu diselitkan ke celah mulut. Dani terbatuk-batuk beberapa kali sebelum mencuba menyedut lagi. Dan ketika itulah, Haikal muncul sambil melayangkan tumbukan padunya.
“Aku sudah cakap banyak kali, jangan kawan dengan budak-budak ini. Tapi kau tidak mahu dengar.”
“Kau jangan sibuk urusan aku, abang. Aku tahulah apa yang aku buat.”
Tidak semena-mena, satu lagi penumbuk hinggap di mukanya. Haikal bagai dirasuk setan. Dia seperti membalas dendam. Kawan-kawan Dani sudah lama cabut lari. Kawan-kawan yang diisytiharkan sebagai kawan sehidup sematinya.
“Tidak! Kau tidak tahu. Kalau kau tidak mahu mati, kau balik sekarang juga.” Haikal memberikan arahan dengan bebola mata yang mencerlung. Sebelum melangkah pergi, dia sempat menitipkan pesanan terakhir kepada Dani.
“Abang tidak mahu kau jadi seperti ayah.”
Haikal sudah menghilang. Setelah itu, Dani pun pulang ke rumah. Ternyata apabila dia sampai, dia dapat mendengar esakan tangisan seseorang di dalam rumah itu. Dani hairan. Suara itu seperti suara Haikal. Kenapa dia menangis sakan begitu?
Dan apabila Dani masuk ke dalam rumah, dia dapat melihat sekujur tubuh wanita sedang terbaring  dalam pelukan Haikal. Ada sebilah pisau terhunus di perutnya. Ketika itulah, barulah Dani faham maksud akan kata-kata abangnya sebentar tadi.
“Abang tidak mahu kau jadi seperti ayah.”
Tidak semena-mena, Dani terduduk di atas lantai. Biarpun semuanya sudah jelas, tetapi semuanya sudahpun terlambat.

 -TAMAT-

Friday, November 10, 2017

CERPEN PILIHAN MINGGUAN

SURATAN UNTUKKU
Oleh: Suzana Jumadil

Image result for rumah panjang
Sumber Google



“Tangkap dia Jamot, jangan terlepas lagi kali ini...” Teriakan tuai rumah jelas di pendengaranku. Lantas, aku berusaha menjauh secepat-cepatnya daripada suara itu.

“Dia di sana, di sebelah banir tu…” Jamot berlari menghampiriku. Namun, aku lebih cepat bertindak meloloskan diri.

“Kau tahulah nasib kau kali ini. Ayam kami kau kerjakan, kan. Kali ini, kami kerjakan kau pulak…” Suara Jamot begitu bersemangat. Parang panjang yang digenggamnya dijadikan senjata mencantas semak. Lelaki Orang Ulu itu melompat cuba menetakku. Namun, aku mengelak dengan menyusuri lubang kecil di bawah banir pokok cengal.

 “Aku nak kupas kulitnya, kemudian  bakar dia hidup-hidup...” tuai rumah menyambung lagi arahan. Aku dapat membayangkan, kulit lehernya yang berkedut-kedut bergerak laju bersama-sama nafas yang bernafsu.  Kulitnya  hitam berkilat apabila dipanah cahaya matahari. Wajahnya bengis, persis seorang pembunuh yang dahagakan nyawa lawan. Kini, akulah lawannya. Seolah-olah aku ini adalah musuh bebuyutannya.

 Ketakutan mula menjalar segenap urat nadiku. Aku  berusaha menyusuri lubang kecil di bawah banir itu untuk bersembunyi. Seketika aku merasa tenang apabila tidak kedengaran suara manusia lagi.

Lantas, aku keluar daripada persembunyian. Malangnya, Jamot dan kawan-kawannya masih tidak putus asa untuk menangkap aku. Dalam keadaan tidak terkawal dan kehilangan perancangan, aku  menyusuri semak tebal, untuk meloloskan diri tanpa pedoman.

Tanpa menyedari rupa-rupanya aku kembali ke arah reban ayam.  Jamot dan kawan-kawannya sudah bersedia memasang jerat. Aku dikepung oleh anak buah tuai rumah. Namun, aku menyusuri pula laluan ke kanan yang berbatu tajam dan beronak.

Deria inframerah anugerah Allah yang aku miliki, memudahkan aku mengesan haba manusia durjana yang kian mendekat. Lalu, aku susuri pula  akar-akar pokok lain yang berbanir tinggi. Aku berusaha untuk bersembunyi seperti tadi.

            Namun sayang, keligatan tubuhku menyusuri onak duri untuk melarikan diri, rupa-rupanya tidak seampuh kepintaran manusia yang rakus ini. Ketika aku menyusuri banir pokok yang menjulang tinggi, tiba-tiba saja pergerakanku terbejat. Runcing peluru sumpit beracun milik Jamot,  terbenam tepat ke  jantungku.   Menyebabkan pergerakanku menjadi perlahan.

Aku tidak menyangka, manusia rakus ini berjaya menyumpitku. Mereka  berjaya melumpuhkan keligatanku untuk melepaskan diri. Aku dapat membayangkan warna kekalahan dalam pertarungan kali  ini.

            Sejenak masa berlalu, pergerakanku yang perlahan menjadi semakin kaku. Keupayaan yang selama ini aku milik, hilang semerta. Aku ditangkap dengan kejam. Tubuhku meliang-liuk lemah dan dimasukkan ke dalam karung guni. Sorakan kemenangan oleh Jamot dan kawan-kawannya pula mengiringi aku yang diheret dalam karung guni itu.

            Aku sudah tidak mampu melepaskan diri. Saat  leherku diikat dan dibawa menghampiri pohon  hutan di hujung perbukitan,  tuai rumah, aku lihat ketawa besar menyaksikan kekalahanku. Tiada sedikit pun rasa simpati yang terbit daripada rautnya yang berurat. Sedarlah aku bahawa  ajalku akan bertandang  sekejap lagi.

            Dalam menanti nyawa terbang daripada jasadku yang kehilangan kudrat, aku teringat anak-anakku yang  masih kecil. Anak-anakku pasti menanti kepulanganku. Aku tidak dapat membayangkan anak-anak yang masih kecil itu bakal aku tinggalkan. Mereka akan menjalani hidup ini tanpa aku. Aku pejamkan mata, siapakah yang menyara mereka kelak? Aku hidup sebatang kara. Ayah mereka? Tidak tahu siapa dan di mana.

            Anak-anak yang aku lahirkan adalah hasil hubungan senyawaku dengan beberapa jantan. Sudah menjadi  fitrah kehidupan masyarakatku. Tubuhku digauli mereka hingga aku tidak tahu lagi, siapa ayah kepada anak-anakku ini. Jantan-jantan itu pula, meninggalkan aku sesudah selesai membenamkan benih mereka  ke dalam rahimku. Aku akhirnya melahirkan anak-anak kecil penerus keturunanku, yang pastinya hanya aku yang akan menyara dan membesarkan mereka.

            “Mampus kau kali ini...” Aku terkejut dengan jerkahan tuai rumah, bayangan terhadap anak-anakku melayang hilang oleh suara parau manusia  jahat ini.

            “Jamot, gantung kepalanya pada dahan tu." Satu arahan diberikan tuai rumah kepada  Jamot. Urat sarafku yang seakan-akan lumpuh oleh bisa sumpit beracun, tidak mampu lagi berbuat apa-apa. Tubuhku longlai, hanya menurut rentak tindakan Jamot apabila kepalaku diikat merapati dahan pokok yang  tingginya sepuluh kaki.

            “Cantik kulit engkau ni. Aku jarang jumpa kulit secantik ini...” tuai rumah menyentuh kulit tubuhku.

Jemari kasarnya mengelus berulang kali kulitku. Mulutnya pula tidak henti-henti memuji kecantikanku. Sesekali dia ketawa terbahak-bahak, meluahkan rasa puas kerana memiliki aku secara mutlak. Namun, sedikit pun aku tidak terkesan apabila dipuj-puji begitu.

Sebaliknya,  ingatanku menerawang sepuluh hari ke belakang. Masih kuingat, kulitku sememangnya baru berganti. Cantik dan bersinar sisiknya, itu perkara biasa. Saat kulit lamaku merekah dan aku tinggalkan menjauh daripada tubuhku, pandangan mataku menjadi kabur berbinar-binar.

Beberapa hari aku terpaksa berdiam di dalam sarangku yang dingin. Memulihkan tenaga selepas berganti kulit memerlukan pengorbanan. Hanya aku sendiri dalam duniaku yang  tahu. Persalinan kulit kadangkala membuatkan aku insaf, bahawa kecantikan  akan dimiliki setelah kesakitan dan kepayahan dilalui.

Namun, tidak semua kecantikan yang aku miliki akan aku nikmati sendiri. Buktinya, tuai rumah yang durjana ini, pastinya dia mengambil kesempatan, memiliki kulitku yang cantik ini untuk dia membanggakan diri. Kononnya dialah perwira bangsanya apabila memakai kulitku sebagai hiasan atau aksesori peribadi.

            “Bawak sini pisau  yang paling tajam." Arahan keras tuai rumah menyebabkan ingatanku kepada peristiwa bersalin kulit hilang melayang-layang. Nada kasar tuai rumah itu menyebabkan anak-anak buahnya bergegas menyerahkan sebilah pisau yang tajam berkilat kepadanya.

            “Jamot, kau ambil tangga dan  toreh pergelangan lehernya. Ingat, jangan sampai luka  kulitmya. Aku nak kulitnya yang cantik ni dalam keadaan sempurna.” Arahan tuai rumah lekas-lekas dilaksanakan Si Jamot.

            Aku, dalam menanti ajal yang bakal menjengah, dapat merasakan torehan pada kulit leherku. Air mata sudah kering untuk menangisi kesakitan. Aku pasrah, jika selepas ini aku menjadi mangsa manusia.  Itulah takdir untukku.

            Sewaktu kulitku dilurut seinci demi seinci, kesakitan dan azab yang kuderitai tidak dapat aku gambarkan dengan kata-kata. Isi dagingku dipisahkan dari kulitku yang baru berganti, memang lekat dan payah untuk dipisahkan. Semakin sakit apabila mata pisau milik tuai rumah menyiat-nyiat isi kulit dari dagingku.

            Tenaga kukerah meliang-liuk dalam kudrat yang semakin minima. Menahan kesakitan yang bermaharajalela oleh kejahatan manusia durjana ini. Namun, akhirnya mereka berjaya menelanjangiku.

            Kulitku keseluruhannya berjaya dilurut hingga ke hujung ekor. Kini, tubuhku hanya tinggal daging yang polos. Tubuhku yang tidak berkulit ini, mula terasa dingin disapa bayu petang tanpa apa-apa lapisan.

            Dunia kurasakan sepi dalam riuh rendah manusia sekelilingku yang menyaksikan kekalahanku. Mungkin sudah suratan, aku mati di tangan tuai rumah. Kini, tenagaku sudah tidak bersisa sedikit pun, mengerdipkan kelopak mata pun aku tidak larat lagi.

            “Rasakan ini...” Tuai rumah menghidupkan pula api  di bawah dahan pokok tempat aku digantung. Isi daging pada tubuhku mula merah kehitam-hitaman oleh bara dan nyalaan api yang kian marak. Semilir bayu petang tidak lagi dingin menyapa tubuhku yang  kini sedang dipanggang.

            Daging tubuhku masak  sedikit demi sedikit. Sorak sorai manusia di sekelilingku semakin hilang dari pendengaran. Kesakitan yang menjalar, kini menjelmakan khabar kematian. Mataku yang semakin kabur dapat melihat bayangan malaikat maut yang semakin dekat menghampiriku.

            Sebelum rohku  bergerak meninggalkan jasad, malaikat maut  telah mengkhabarkan sesuatu kepadaku. Perkhabaran berupa bayangan dan watak  tuai rumah bersama pengikut-pengikutnya selepas kematianku nanti. Perkhabaran yang menyebabkan aku tersenyum tanpa merasa kesakitan lagi.

            Dalam perkhabaran itu, aku diperlihatkan yang tuai rumah dan pengikut-pengikutnya akan mati bergelimpangan selepas subuh esok.  Mereka mati setelah menjamah dagingku yang sudah diresapi bisa racun yang mereka ciptakan sendiri. Mayat mereka akan membusuk dan berulat tanpa ada upacara pengebumian.

                                                              -TAMAT-

Friday, November 3, 2017

CERPEN PILIHAN MINGGUAN

NOKTAH PENANTIAN
Oleh NoHR

Image result for JAMBATAN PICTURE
Sumber : Google
            (i)
 Sungguh. Aku penat dengan dunia. Aku penat dengan kehidupan. Bertahun-tahun lamanya aku memendam rasa. Penat. Kalau dunia boleh menentang aku. Kenapa aku tidak?
    Anak mataku perlahan-lahan mencerun memandang ke bawah. Puncak jambatan gantung itu membolehkan aku melihat permukaan tasik di bawah. Di belakang palang besi jambatan gantung itu pula sesak dengan manusia-manusia yang menjerit-jerit kesawanan. 
Aku terkesan? Aku terganggu dengan laung pekik, jerit tempik mereka? Tidak, di kala ini hanya kekosongan mengisi sanubari. Hati aku kebas. Angin yang menampar-nampar pipi seolah-olah tidak mengusik waras minda.
    Kaki yang sudah berdiri di hujung puncak jambatan gantung kini hanya menunggu setapak lagi untuk menjadi penentu. Berdiri tegak aku di atas palang besi tersebut. Satu persatu memori pahit mengasak-asak minda. Telinga aku tuli daripada sebarang bantahan. Setapak lagi dan aku akan bebas. 
    'Setapak lagi,  Adh dan semua ni akan hilang. Ambil setapak aja lagi,' desis hati sendiri memujuk pergolakan yang memerangi minda.
    Suara dan jeritan yang makin nyaring dari arah bawah apabila kakiku tidak lagi berpaksi di atas palang besi itu langsung tidak mengusik jiwa. Tuhan...
    Aku penat. Aku ingin berehat.
(ii)
    Keriut mesin yang memaparkan garisan turun naik warna hijau tanpa sedar menjengah corong telinga. Kelopak mata yang kubuka perlahan-lahan langsung tertancap pada IV drip yang bersambung tercucuk pada tangan sendiri.
    Suasana terang dipancar cahaya membuatkan dahi aku berkerut seribu. Aku dah mati ke? Dekat mana ni?
    "Assalamualaikum. Hei... dah sedar?" soal seseorang. Kepala kutoleh ke kiri mencari figura empunya suara. Mata bundarnya terkebil-kebil memandang tepat ke arah aku, sebelum bibir keringnya merekah tersenyum.
    Ingin ditanya tetapi terasa berat mulut ini untuk dibuka. Tangan yang berbirat dan lebam di sana sini menyukarkan lagi pergerakan aku untuk duduk bersandar.
    Tak semena-mena ada tangan yang menegah aku daripada bangun. Wajah pucat itu aku pandang lagi. Wajahku pula kosong tanpa secebis senyuman. 
"Nama aku Aisyah.  Boleh panggil Aisy," ucapnya "Farahin Adhwa? Kan?" sambungnya lagi. 
Hanya anggukan lemah yang aku berikan. 
    Aisy tersenyum buat ke sekian kalinya. Namun bingkas dia bangun, menuju ke lorong kiri wad apabila aku menerima tegahannya dan terus berbaring. 
    Itu figura akhir yang aku nampak sebelum pandangan aku kembali kelam tidak bercahaya.
(iii)
    'Mimpi. Itu semua mimpi, kan?' Sebab setiap kali aku bangun,  dia akan hilang. Lambat-lambat kelopak mata cuba aku buka tetapi sangkaan aku kali ini meleset.
    Terkebil-kebil Aisy memandang aku sambil menongkat dagu. Keluhan berat aku lepaskan. Ini realiti. Wajah pucatnya aku pandang tanpa riak. Senyuman masih lagi tak lekang dari bibirnya.
    "Tak sakit ke buat begitu? Memang nak mati awal, eh?" soalnya sebelum pandangannya melolot ke pergelangan tangan aku yang sudah berbalut dek luka ditoreh dengan kaca dua hari lalu.
     Ya. Itu 'usaha' terbaik aku. Aku rasa aku sudah terjun dari jambatan. Dan setahu aku, aku tak boleh berenang. Jadi macam mana aku boleh terselamat? Inisiatif kedua aku ambil adalah dengan menoreh tangan sendiri. Namun lukanya tak cukup dalam. Aku belum cukup terlatih dalam kerja toreh-menoreh ini. 
Derai bunyi kaca bertemu lantai menyebabkan jururawat bergegas menuju ke katilku. Menyelamatkan keadaan tetapi bolehkah lagi aku ini diselamatkan?
    "Tahu tak Allah benci perbuatan kau tu? Hukuman dekat akhirat berat tau.  Kalau sungguhlah kau mati bunuh diri hari tu, mereputlah kau jadi kayu api neraka. Keduanya, kau akan terus menerus bunuh diri dekat akhirat sana. Kalau kau mati sebab toreh tangan, di akhirat nanti kau akan ulang benda yang sama tu buat selama-lamanya. Tak ngeri ke? Tak takut?" soalnya bertubi-tubi namun tidak pula aku memberi respon.
    Pandangan ditala aku ke luar tingkap. Memandang langit, sedang minda mencerna setiap kata-kata Aisy.
    "Aku penat." Setitis air mata aku mengalir ke pipi tanpa sedar.
    Aisy mendengus kasar, geram mendengar kata-kata aku. "Alasan kau bunuh diri sebab kau penat? Jangan buat lawaklah."
    "Kau tak faham..." ucapku rendah.
    "Apa yang aku tak faham?" Sinis suara Aisy menyentakkan aku tetapi jelas ternyata hanya aku yang terkejut. Penghuni wad itu langsung tidak terkesan dengan suara Aisy yang naik meninggi.
    Aku ketap bibir kuat sebelum menghela nafas berat. "Aku ada mak ayah. Tapi mereka tak hiraukan aku, masing-masing bina keluarga sendiri. Tinggalkan aku. Aku rasa macam kewujudan aku dinafikan. Aku cuma nak tempat berpaut. Tapi aku tak ada sesiapa."
    Aisy terdiam. Masih lagi memandang aku. 
"Mak ayah aku bercerai kemudian tinggalkan aku untuk membesar bawah jagaan nenek. Tapi nenek pun dah pergi. Aku cuba kerja keras selamatkan nenek, Aisy. Dia tetap pergi," lirih ujarku cuba menarik simpatinya.
    Belakang tapak tanganku diusapnya lembut.
    "Sifat manusia itu rapuh, Adhwa. Sebab itu kita perlukan Tuhan. Penat tu perkara biasa. Putus asa itu biasa. Tapi Dia Maha Pengasih. Dia sayang kau. Dia pilih kau. Balik pada Dia, tiada tempat berpaut yang lebih baik daripada Dia. Ingat pesan aku," ucap Aisy sambil tersenyum lagi.
    Tanpa sedar aku menangis semahu-mahunya di bahu Aisy. Penat. Aku penat, Ya Allah.
    "Nangis selagi mana kau mahu. Dia ada. Untuk jaga kau. Tak kisahlah besar mana dosa kau. Jangan putus asa minta ampun. Tau?" pujuk Aisy lagi.
    Lambat-lambat aku mengangguk.
    Aku nak pulang.
(iv)
    Hari-hariku selepas itu semakin lama semakin indah. Aku telah kehilangan tetapi Dia mengangkat segala rasa susah hati aku dengan kehadiran seorang insan yang bernama Aisyah.
    Bermula daripada situ, aku kumpul semula kekuatan. Mencari cebisan semangat yang hilang. Aku belajar mengaji. Belajar tepati masa terutamanya waktu solat. Perlahan-lahan aku menyusur  semula jalan kembali.
    "Hati kita... apabila dekat dengan Tuhan, akan rasa tenang. Jadi berhenti terlalu bergantung pada manusia," pesan Aisy pada hari terakhir aku menemuinya.
    Malam sebelum aku dibenarkan keluar dari wad, dia sempat berpesan pada aku. "Tanggungjawab aku dah selesai. Tolong jagakan keluarga aku untuk aku, ya?"
    Aku kehairanan dengan kata-kata Aisy namun terus membengkokkan jari kelingking tanda berjanji. Esok aku boleh tanya semula, fikirku lagi.
"Kenapa dengan diorang? Salah ke apa yang kita buat ni?" Soalku ketika seorang jururawat melintasi katilku dan memandang curiga. 
Senyuman Aisy langsung pudar. "Jangan pedulikan mereka," ujar Aisy
(iv)
    Hari ini aku dibenarkan keluar dari wad. Barang-barang sudah kukemas semuanya. Aku masih lagi setia menunggu kehadiran Aisy.
    Jururawat yang mengemas  katil sebelah memandang aku pelik. "Dah boleh balik kan? Tunggu siapa, dik?" soalnya prihatin.
    "Kawan saya yang selalu datang tu. Nanti dia datang ambil saya," ujarku, gembira. Entah apa yang menyentakkan jururawat itu, aku pun tidak pasti. Yang pasti riaknya langsung berubah mendengarkan bicaraku. Dia pandang aku dengan dahi berkerut seribu sebelum berlalu pergi.
    Terkebil-kebil aku pandang figura gadis tinggi lampai berbaju putih itu. Tanpa sedar ada susuk lain yang menyinggah di tepi katil.
    Kepala aku angkat pula memandang figura tiga orang insan di sisi katil. Sepasang suami isteri dan seorang lelaki yang kelihatan lewat 20-an.
    "Farahin Adhwa? Kami keluarga Aisy." Bait-bait kata yang terzahir langsung menyebabkan aku mencium tangan wanita tua di antara mereka sebagai tanda hormat.
    Hairan. 'Aisy ajak satu keluarga dia untuk datang jemput aku?' omelku sendiri.
    "Maaf bertanya. Aisy ada dekat mana, ya?" soalku apabila tiada langsung bayang-bayang Aisy menjengah layar pandangan seperti selalu.
    Wanita tua itu menekup mulut sebelum membiarkan tangisan kecil bebas. Terhinggut-hinggut tiba-tiba tubuh wanita tua itu, menahan sebak apabila mendengar soalanku. Terpinga-pinga aku dibuatnya.
    "Abah, abang bawa mama turun dulu. Kami tunggu dalam kereta. Ya?" ucap lelaki tinggi lampai itu sebelum berlalu pergi.
    Aku yang tidak memahami hujung pangkal cerita sudah cuak tak bernoktah. Salah ke soalan aku tadi? Tapi sungguh… mana Aisy?
    "Aisy dah tak ada. Dia lemas semasa selamatkan kamu. Kamu wasiat terakhir dia. Sebab itu kami datang untuk jemput kamu, memenuhi permintaan arwah," ucap lelaki tua itu tenang.
    'Arwah?' Rahangku terbuka spontan.
    "Aisy..." bicaraku tergantung.
    "Dia dah tak ada. Sejak lima hari lepas, selepas kejadian dekat jambatan gantung tu," sambut bapa Aisy lagi.
    Tak mungkin... baru semalam aku jumpa dia.
    "Jagakan keluarga aku."
    Senyuman Aisy menjengah minda. Sebelum satu-persatu memori tentang orang sekeliling yang memandang aku pelik tiap kali aku bercakap dengan Aisy menjengah minda.
Tamat.