Wednesday, July 26, 2017

Nuh, Melayarkan Bahtera Falsafah


Sambil mengunyah sebiji epal nan rangup saya mencapai antologi 'Helo' terbitan JS Adiwarna. Penanda buku sudah lama bermukim di muka surat 238. Cerpen bertajuk Jiwa, garapan Nuh.

Siapa Nuh? Entah. Saya mengenali Nuh lewat Dalang Gerhana, Petualang Cinta, cerpennya di dalam antologi Sains Fiksyen & Fantasi Adiwarna 2.

Karya Nuh, penuh jiwa, misteri dan penuh falsafah. Karya-karyanya membawa makna berlapis-lapis, tersirat dan tersurat. Karya Nuh sebenarnya berat untuk ditafsir dan boleh sahaja disalahertikan sebagai sebuah 'raung rasa'.

Diksinya cantik tersusun. Nuh menguasai hiperbola dan metafora dengan baik dan melukisnya di kanvas perasaan secara jujur, saya kira.

'Selama ini, aku percaya aku lebih selesa hidup begini, tidak dekat, tidak jauh. Ibarat melihat terang pesta dari mercu-mercu gelap.'

Nuh seorang manusia pemerhati kerana inti karyanya rinci melalui olahan bahasa yang indah dan relevan dengan masa.

Satu yang saya perhatikan, Nuh tidak pernah 'meninggalkan' subjek bulan. Walaupun bermula dengan Dalang Gerhana, Petualang Cinta yang jelas menjadikan bulan sebagai titik tumpu penceritaan secara tak langsung, saya mengesan juga kehadiran bulan si dalam naskhah Jiwa. Tidak ketinggalan, bulan juga disentuh di dalam naskhah Sang Penghujah. Garapan lebih awal Nuh di dalam antologi Daun Paku Ungu.

Siapa Nuh? Pemikir barangkali. Namun, luahan mindanya lewat cerpen-cerpennya menghadirkan kepelbagaian falsafah hidup yang perlu difikirkan.

Salam pena,
Admin TSJD


No comments:

Post a Comment