TETAMU YANG TIDAK DIUNDANG
Oleh: Nurul Hashim
Sumber : Google |
“Awak ada duit lebih tak?” Tergugat keheningan di kala petang yang garing itu. Salam tidak diberi, basmallah entah baca entah tidak. Main terjah masuk ke dalam rumah.
Aku yang sedang menukar lampin anak mula tercuit rasa kurang selesa. Kutoleh ke arahnya yang sedang memandang tepat ke arah beg duitku yang kembung dengan resit belanja semata-mata.
“Duit jual cucur peneram tu ada lah sikit. Tapi dalam bank. Yang dalam beg duit tu ada tiga puluh lebih saja. Simpan untuk susu anak. Kenapa?” Sekali harung aku menjawab dan sempat lagi aku menyoal balas.
“Takk… Hmm… Err…” Azad jadi tidak keruan. Sekejap belek telefon bimbit, sekejap lagi pandang pintu, selebihnya menunduk.
Aku menajamkan renungan, “Hah, jawablah… kenapa?”
“Nak balik kampung…”
“Hah baliklah…tak ada siapa yang halang pun…”
“Err…duit…tak cukup…” Aku bingkas bangun. Aku tidak pernah halang Azad ingin pulang ke kampung. Nak balik, baliklah. Duit tidak cukup, boleh saja dia hendak pulang sendiri. Aku tidak pernah mengawal gerak-gerinya. Kalau sudah namanya lelaki, jarang sekali mereka mahu mendengar kata-kata seorang isteri.
“Dah lebih tujuh bulan saya tak balik kampung…”
Ya, aku faham. Bahkan setiap bulan aku tidak pernah gagal menyuruhnya pulang ke kampung halamannya, bertemu orang tuanya. Dia yang tidak mahu. Sibuk berniaga dan duit tidak pernah cukup katanya.
“Papa dan yang lain-lain nak naik haji…saya nak balik hantar papa ke lapangan terbang…”
Aku menyambung sepi. Kasihan mula menyelit.
Kami bersiap-siap mahu ke rumah ibu dan ayahku dan dalam perjalanan kuminta dia singgah di bank. Aku hulurkan kad debit aku kepada Azad.
“Keluarkan semuanya…tak apa…ada RM200 saja tu. Tapi nanti balik ganti semula.”
Mengangguk sahaja kepalanya. Aku memandang sekilas, Ada juga sinar harapan di wajahnya.
Ah, biarlah! Sekali-sekala dia hendak pulang bertemu keluarga. Aku yang tinggal satu daerah dengan ibu dan ayah pun boleh dikatakan setiap hari bertandang tanpa pernah gagal, inikan pula dia yang merantau ke tempatku, jauh daripada sanak-saudara. Aku faham. Aku boleh hadamkan.
“Kami nak balik kampung Azad ni…esok nak bertolak dah…”
Ibu dan dan ayahku terkejut kerana kami tergesa-gesa hendak pulang ke sana. Terkejut kerana mereka tahu kami tidak ada wang belanja. Namun tidaklah mereka menghalangnya, malah berbesar-hati dan menyokong niat kami pulang ke sana. Mereka tahu, sudah lama Azad memendam rindu terhadap keluarganya. Anak-anak kami juga sudah lama tidak bersua muka dengan Tok Papa dan Tok Mama mereka.
Sebelum beransur, sempat ibuku menyelitkan empat keping not 50 ke dalam genggaman tanganku. Aku segan dan menolak, tetapi ibuku memaksa aku mengambilnya.
“Habuan beli mainan cucu-cucu ibu…kalau tak guna, Nina simpanlah…”
Aku memeluk ibu untuk kali yang entah ke berapa. Ibu dan ayahku, susah dan senang tetap bersamaku. Itu yang membuatku tega bangun setiap pagi, usaha mempertingkatkan diriku dan keluarga. Berniaga berdikit-dikit, kumpul yang mana ada demi mencukupkan keperluan kami sehari-harian.
Azad ada menyewa kedai makan di hadapan rumah kami, namun sudah resmi orang berniaga, ada hari untung, ada pula hari rugi. Kami pula ada komitmen yang tidaklah kami terangkan kepada semua yang mengenali diri kami. Hanya keluarga terdekat yang mengetahui dan menyokong segala usaha yang kami lakukan. Pada saat ini aku amat-amat bersyukur kerana diletakkan dalam keluarga yang tidaklah kaya-raya namun Alhamdulillah, anak-anak kami masih belum kebuluran dan putus bekalan susu. Terlewat makan, terkurang susu itu pernah, namun syukur, ada rezeki juga.
Petang itu juga kami bertolak dengan Kancil Azad. Tunai Asar, Maghrib dan Isyak di tengah jalan sahaja nanti katanya. Sejujurnya aku ralat kerana setengah jam lagi akan masuk waktu Asar, namun kuturutkan jua kata-kata Azad. Biarlah kepulangan kami ke kampungnya kali ini tanpa pertengkaran.
Masuk sahaja ke dalam perut kereta, belum sempat aku dan anak-anakku selesai membaca doa naik kenderaan, pedal minyak ditekannya gelojoh. Melayah kami tiga beranak ke belakang. Hati aku yang suam-suam mulai panas. Rasa menyesal untuk ikut Azad pulang ke Pantai Timur mula mencakar-cakar dadaku. Namun, mengenangkan hasrat Azad yang beria-ia mahu anak-anak balik bertemu Tok Papa dan Tok Mama mereka, aku mengalah. Bimbang timbul masalah lain pula nanti.
‘Ya, sudahlah Nina. Orang tak penyabar memang macam tu kelakunya.” Suara kecil memujuk aku supaya waras berfikir. Baiklah, dia sudah lama tidak pulang ke kampung. Aku mengurut dada dan kembali tumpukan kepada anak-anakku yang sangat-sangat teruja hendak balik ke kampung. Macam-macam perkara aku bualkan supaya mereka duduk diam dan tidak mengganggu Azad memandu. Anak-anakku, dalam kereta memang tidak mahu duduk diam. Aktifnya semacam. Aku terpaksa alihkan perhatian mereka ke kanan dan kiri jalan. Azad pula janjikan hendak belikan mainan apabila sampai ke Bukit Bunga nanti.
“Abang tak nak mainan, abang nak pauh macam Tok Papa juga. Abang suka pauh." Anakku yang sulung menyanggah cadangan Azad. Aku dan Azad mengiakan sahaja. Anakku girang segirang-girangnya.
“Syukur kan masih punya kenderaan.” Aku cuba mengalihkan perhatiannya sambil menunjukkan warga Bangladesh yang sedang berjalan kaki di bahu jalan, “Orang lain naik basikal, berjalan kaki saja.”
Biarpun mereka tidak faham langsung apa yang aku nasihatkan, aku lontarkan jua. Aku sebenarnya hendakkan telinga Azad yang menangkap isi percakapanku. Biar masuk ke dalam sanubarinya.
Azad. Asalnya anak orang berada. Adik dan abangnya semuanya berkedudukan. Papa dan Mama Azad juga sewaktu bekerja, berpangkat bukan calang-calang. Kata orang, tak habis makan duit pencen sekarang.
Makan angin, melancong ke sana ke mari, setiap tahun menunaikan umrah, tahun ini tiba-tiba ingin menunaikan haji pula. Baguslah.
Aku memujuk hatiku supaya gembira dengan nikmat yang mereka ada. Rezeki masing-masing, rezeki kami belum tiba lagi. Sabar dan usaha lagi, kataku sendirian walaupun kadangkala aku bingung untuk cuba memahami isi hati Azad.
Tidakkah dia merasa terpinggir dengan keluarganya yang hebat-hebat? Dia pula comot dan berniaga sekejap tenggelam sekejap timbul. Tidakkah keluarganya tahu yang Azad susah di sini? Ya, memang mereka tidak pernah menjenguk kami di sini sejak kami bergelut dengan masalah kewangan. Bergelut dan diduga hebat setelah Azad nekad berhenti kerja dan ingin berniaga. Azad; yang namanya Azad ini, mulutnya berat bak menyimpan ketulan batu-bata. Mungkin juga dia tidak pernah bercerita tentang kami kepada keluarganya.
Aku mengerling jam. Hampir enam jam perjalanan kami rupanya. Laju juga Azad memandu. Tolak campur berhenti solat dan uruskan anak-anak. Sesekali aku dan anak-anakku terlelap. Tersedar kali ini aku sedar kami melintasi Bukit Bunga.
“Eh, awak tak nak berhenti beli pauh barang sekilo untuk Papa dan Mama? Mainan? Pauh untuk anak-anak macam mana, yang awak janji tadi?” Pertanyaanku berbalas dengusan Azad serta-merta.
Aku menyambung, “Kenapa? Belilah sikit apa-apa pun tak apa. Tak kan nak balik tangan kos…”
“Arghh…serabutlah dia ni! Orang nak balik cepat! Kalau kita beli, bukan Papa makan pun!” Pekikan Azad buatku mendidih, namun aku mengawal nada suara supaya rendah.
“Kalau tak mahu beli untuk Papa pun, ni anak-anak…belilah sesuatu…Sebab dah janji…nanti merengek-rengek kat rumah Papa. Semua orang jadi tak selesa…awak juga nak naik darah…”
Azad meluncurkan kereta ke bahu jalan dan dengan semberononya menekan brek sambil mulutnya menyumpah seranah diriku. Aku tersembam ke hadapan. Sakit muka, leher dan bahuku. Memang sakit. Terseret tayar Kancil yang kami naiki hingga berterbangan debu-debu ke udara. Anak-anak yang tersedar kerana gerakan yang kasar itu sudah mula berteriakan.
Nada suaraku bak mendaki Banjaran Titiwangsa. Amarah menguasai diri, namun tidak dihiraukan Azad.
Dia mengundur sambil membelok dan membuat pusingan ke arah Bukit Bunga tanpa mempedulikan pertanyaanku.
“Sebab itu saya cakap tadi malas nak ikut awak balik, sebab ini lah! Perangai tak berubah. Tak sedar-sedar diri! Ni ada anak-anak dalam ni, bawalah kereta elok-elok sikit! Kalau accident macam mana?” Amarah sudah naik ke kepala. Nyawa anak-anak bukan untuk dibuat main.
Azad memang pantang dicabar. Pedal minyak ditekan sepenuh hati dan stereng kereta diputar-putar kasar ke kiri dan ke kanan sengaja membuatkan kereta terhoyong-hayang di jalan raya. Ini memang kelakuan Azad yang aku tidak tahan.
“Waras atau tak awak ni? Benci betul perangai awak! Turunkan kami! Balik menghadap papa dengan mama sendirilah!” Hati aku mendidih bukan takat didih air lagi. Jika leburkan tembaga dalam hati aku saat ini pasti sekejap sahaja sudah boleh cair.
“Nak balik menghadap orang kaya…Anak isteri yang susah-susah…Kumpul duit bagai nak rak! Suruh balik seorang tak nak! Bengang betul dengan orang macam ni! Betul-betul tak sedar diri! Balik bukan keluarga suka pun! Susah bukannya keluarga tahu pun! Sibuk nak meraikan orang kaya! Anak sendiri buat tak endah! Zalim!” Bebelanku meluncur bak mesin gan. Biar puas hati aku.
Dia sengaja membrek kasar. Habis terjongol kepala penjaga-penjaga kedai di gerai-gerai Bukit Bunga mendengarkan bunyi decit tayar yang begitu kasar.
Dia menoleh lantas menumbuk tepat di dadaku. Aku terdiam. Menahan senak. Tiada senyuman di wajah anak-anakku. Segera aku turunkan anak-anakku dan aku suruh Azad teruskan perjalanan. Nombor teman karib yang memang sedia maklum tingkah-laku Azad yang panas baran dan cepat tangan aku dail pantas. Memang awal-awal lagi sudah dipesannya kepadaku, apa-apa terjadi, cepat-cepat hubunginya, dia akan datang menjemput. Ah! Tidak berangkat pula panggilanku. Mungkin dia sudah tidur. Letih agaknya sahabatku ini.
Azad tidak mahu berganjak. Dicangkuknya leherku sambil memaki-hamun diriku di hadapan anak-anak. Diluku-lukunya kepalaku. Digoncang-goncangkan kepalaku. Azad memang pandai. Jarang dia memukul di tempat yang kesannya senang dilihat orang. Sambil itu, pelbagai bahasa yang kesat dilontarkan tanpa menghiraukan mata-mata yang memandang. Dia berani kerana tiada seorang pun yang mengenali. Orang zaman sekarang, mana mahu masuk campur urusan orang lain.
Mataku berpinar saat itu tapi aku tetap berhempas pulas tidak mahu terlepas daripada mengenggam tangan mereka. Anak-anakku terpinga-pinga dan mula berteriakan semula sambil mengeratkan pelukan di kakiku. Apa jua kekasaran yang berlaku bertalu-talu sepanjang kehidupan mereka membuatkan aku merasa berdosa terhadap anak-anakku ini. Aku, seorang ibu yang masih memilih bertahan dengan seorang bapa yang berperangai sebegini.
Dingin, kasar, kuat mendera dan pentingkan diri sendiri. Contoh teladan yang terburuk untuk anak-anakku. Paling menyedihkan apabila mereka menterjemahkan dalam perkataan dan tingkah-laku yang menyebabkan orang sekeliling tidak sukakan mereka walhal mereka sendiri tidak memahami apa yang mereka perkatakan dan lakukan. Celik-celik mata sudah memaki-hamun. Celik-celik mata sahaja sudah memukul-mukulku dan buat perangai.
Sudahlah ibu bapa orang susah, perangai mereka yang terlihat nakal, terlampau aktif dan biadap bagi sesetengah orang tanpa mengetahui apa yang berlaku dalam kehidupan seharian mereka amatlah mengecewakan diriku. Mereka tidak tahu apa yang kami alami. Trauma yang kami hadapi.
Ini sebabnya aku malas hendak pulang ke kampung Azad. Riak muka yang menerima kepulangan kami tidak pernah riak muka yang gembira dan berbesar hati. Bila anak-anak nakal, yang dijelingnya diriku, bukannya Azad. Pernah juga anakku mengeluarkan perkataan yang kesat di hadapan keluarga Azad.
“Heii...ikut siapa tak tahu? Siapalah yang ajar ni…” kata Azad sambil tersenyum-senyum kehairanan. Memang perangai Azad. Berlakon. Disebabkan itu, aku tidaklah menjangkakan sambutan yang penuh kerinduan dan kasih sayang setibanya kami nanti. Tambahan pula pulang dengan perasaan masing-masing panas dalam dada.
Setelah puas mengeluarkan segala isi dadaku terhadap Azad, aku masuk kembali ke dalam kereta. Aku katakan kepadanya yang aku ikut pulang kerana aku hormatkan papa dan mamanya yang ingin jadi tetamu Allah. Itu sahaja. Ikutkan logik, tidak perlu sebenarnya. Malah perancangan Papa dan Mamanya yang mendaftar pakej mengerjakan haji yang paling mahal dan termewah itu sebenarnya awal-awal lagi tidak masuk akal.
Apa perlu bermewah-mewah berlebih-lebihan walhal anak cucu hidup dalam kesempitan? Paling merepek, kami menghabiskan duit yang memang ada untuk kegunaan kami sehari-harian semata-mata untuk pulang menghantar mereka ke lapangan terbang. Ya, jika disuarakan memang aku terlihat mempunyai hati yang busuk. Tapi aku suarakan juga. Buruk-buruk pun, inilah diriku.
Azad sambung menyumpah-nyumpah diriku. Aku sudah bersedia. Aku sudah jangkakan reaksinya. Biarlah. Masing-masing diam membatu setelah keletihan bertekak. Sedar-sedar kami sampai ke rumah keluarga Azad.
Reaksi yang sudah dijangka diterima daripada Mama dan adik bongsu Azad. Hanya Papa yang berseri-seri menyambut kepulangan kami. Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya ada yang suka, walaupun entah sampai bila sukanya akan berlarutan aku sendiri kurang pasti.
“Ibu dan ayah kirim salam untuk Pa dan Ma. Bila Pa dan Ma nak bertolak?” Aku berbicara sambil bersalam-salaman dengan muka yang kupaksa-paksa untuk dimaniskan. Biarlah apa yang kami gaduhkan sepanjang perjalanan itu didiamkan sahaja. Jujurnya hatiku masih pedih, entah kenapa merasa sakit sangat dizalimi sebegini. Pulang meraikan orang kaya. Aku ketawa di dalam hati. Hati pula berdarah-darah. Semakin ketawa semakin menghiris.
Apa-apa yang terjadi, aku tetap tidak lupa memohon Allah SWT kurniakanku petunjuk. Mereka hendak menemui-Mu, ya Rabb. Ikhlaskan hatiku. Mungkin aku yang tidak sabar. Aku mohon bersihkan hatiku. Semoga pemergian mereka ke sana, dapat juga mereka mendoakan kami di sini.
Tapi entah bila masa berangkat mereka, aku tidak pasti. Kelihatannya, Papa masih berhubung dengan ejen di Kuala Lumpur. Barang-barang sudah siap dikemaskan. Aku pun sedikit pelik namun kudiamkan sahaja. Mungkin beginilah caranya orang-orang kaya naik haji. Aku? Usah menyibuklah. Diam dan layankan sahaja walaupun aku dan anak-anak seperti tidak wujud di kelompok itu. Azad pun seperti tidak wujud juga sebenarnya. Hakikat yang dia sedar dengan tidak sedar sahaja.
Dua hari kami di sana, aku sudah mulai rasa tidak selesa berlama-lama. Mata adik bongsu Azad sudah semakin tajam dan bibir acapkali melengkung ke bawah. Mama usah cakaplah. Aku berdoa semoga cepat-cepatlah mereka berangkat dan kami boleh pulang segera dan anak-anakku tidaklah berpesta lagi di rumah mereka.
“Eh, nanti anak-anak bangun bersiaplah, Mama dan Papa dah bertolak ke airport tu…” Azad bersuara tanpa memandang wajahku. Aku diam sahaja. Hening Subuh hari itu membuatkan aku lega akhirnya, hari yang kunanti-nantikan sudah tiba.
Kami tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra jam 10.00 pagi. Saudara mara Mama sudah memenuhi ruangan legar. Keluarganya memang besar. Masing-masing memandang kami acuh tidak acuh. Ada yang sedang berbicara dengan mama yang membelakangkan kami, namun mata memandang tepat ke arah kami. Mungkin kedatangan kami tidak dialu-alukan. Kami bersalam-salaman sekadarnya sahaja. Aku membawa anak-anakku berdiri jauh sedikit daripada kelompok mereka.
Pelik juga, jemaah yang katanya akan bertolak dari lapangan terbang yang sama masih belum kunjung tiba. Papa sudah mulai keletihan. Mama ke hulu ke hilir dengan adik bongsu Azad, melayan anaknya membeli-belah. Sekejap burger, sekejap coklat. Sekejap itu sekejap ini, tetapi tidak pula dihiraukan kanak-kanak berdua yang juga cucu-cucunya ini. Ah, Mama! Genggamannya memang tidak tiris untuk kami.
Melepasi waktu Zuhur barulah segerombolan manusia berpusu-pusu masuk. Khabarnya kumpulan inilah yang akan bersama-sama Papa dan Mama ke Tanah Suci. Aduhai. Bayangkan, sedari jam 8.00 pagi Papa dan Mama menunggu. Tidak ada tentatif perjalanankah? Enam jam dibazirkan untuk menunggu mereka berlepas ke Kuala Lumpur. Anak-anakku sudah puas bermain. Aku naik serik dan kepalaku mulai merasa sekejap kembang sekejap kuncup. Jam 2.30 petang barulah mereka dipanggil. Mama bergegas berada di hadapan sekali. Ditariknya sekali tangan anak emasnya untuk berpeluk-pelukkan dan berpesan-pesan sebelum berpergian.
Aku berjalan pantas mengejar dan bersalaman dengannya dan Papa. Jelas sekali mereka berkecil hati denganku kerana tidak memandang mukaku dan terus bergegas masuk ke balai pelepasan. Ya aku agak mendiamkan diri pada kepulangan ini. Anak-anakku memang aktif walau di mana sahaja mereka berada. Azad? Azad tidak sempat bersalaman kerana dia keluar melepaskan gian di luar sana. Membuang asap. Dia berlari-lari anak juga, namun tidak sempat kerana Mama dan Papa kelihatannya tidak mahu berjumpa lagi dengan sesiapa.
Aku sempat menangkap wajah Azad yang merona kemerahan dan air mata pilu yang bergenang di pelupuk matanya. Aku tunduk berpura-pura tidak menyedari apa yang berlaku dan menuruti kehendaknya untuk segera pulang. Aku tahu Azad kecewa.
Biarlah. Kami terima berita Mama dan Papa selamat tiba di Kuala Lumpur petang itu. Kami terus pulang ke kampungku. Keesokan harinya, aku dengar-dengar Azad bercakap dengan saudaranya di Kuala Lumpur. Papa dan Mama ditempatkan di salah sebuah hotel sementara menunggu visa mereka diluluskan oleh Kerajaan Arab Saudi. Aku diamkan sahaja. Tidak mahu bertanya lanjut.
Seminggu selepas itu, aku terdengar khabar, Papa dan Mama terpaksa kembali ke rumah mereka. Tahun itu mereka hanya diundang menjadi tetamu di Kuala Lumpur, bukannya Tanah Suci. Tetamu yang tidak diundang Allah SWT dan Rasulullah SAW. Wang mereka pula, jika ada rezeki akan dipulangkan setelah enam bulan. Kalau ada dan harapnya ada. Azad pula, pada kebanyakan masa lebih banyak berdiam. Lebih kuat berusaha, bekerja memajukan diri dan menawan semula hatiku dan anak-anak. Aku teruskan berdoa mudah-mudahan dia beroleh kesedaran. Semoga semuanya semakin baik dan dijauhkan daripada mala petaka. Amin.
-TAMAT-